Capital A sasar buka 21 landasan MRO

Capital A sasar buka 21 landasan MRO

TUNKU Ismail Sultan Ibrahim menandatangani plak sambil diperhatikan oleh Tony Fernandes (kanan) dan Onn Hafiz Ghazi (kiri) pada Majlis Pelancaran Hangar Asia Digital Engineering (ADE) Senai di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai. – UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULAI: Asia Digital Engineering (ADE) yang merupakan cabang kejuruteraan Capital A (dahulunya dikenali AirAsia Group Berhad), merancang menambah kemudahan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) kepada 21 landasan menjelang 2024.

Ketua Pegawai Eksekutif ADE, Mahesh Kumar berkata, ketika ini pihaknya memiliki tujuh landasan MRO, iaitu satu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), empat di Subang dan dua di Senai.

Menurutnya, pembukaan dua landasan MRO di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai semalam memberi akses mudah kepada negara-negara yang berkembang pesat di Asia Pasifik kerana lokasi yang strategik.

“ADE melihat pembangunan ini sebagai peluang keemasan untuk mengembangkan kehadiran dan kepakaran kami dalam sektor MRO, terutamanya dalam membawa lebih banyak pelaburan asing ke negeri dan negara ini menerusi industri aeroangkasa.

“Sejajar dengan visi ADE untuk memupuk bakat dan komuniti, kami juga akan mengembangkan fungsi kemudahan ini sebagai pusat latihan untuk ahli profesional penerbangan dan penuntut kejuruteraan aeroangkasa di seluruh negara dan rantau ini.

“Kami percaya pelaburan da­lam kakitangan kami dan komuniti adalah cara terbaik untuk mengembangkan syarikat ini,” katanya selepas Majlis Perasmian Fasiliti ADE di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, di sini semalam.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim. Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tan Sri Tony Fernandes memberitahu, pelancaran dua landasan itu bertujuan mengukuhkan kedudukan syarikatnya dalam menawarkan perkhidmatan MRO terbaik.

Menurutnya, ADE akan meletakkan Johor dan Malaysia sebagai penyedia perkhidmatan MRO terkemuka dunia untuk AirAsia dan syarikat penerbangan di rantau ini.

“Kami yakin Johor menawarkan pelbagai peluang keemasan dan merupakan sebuah negeri dengan aset berharga bagi pembangunan ekonomi Malaysia. Pelancaran kemudahan ini akan mengembangkan lagi kehadiran ADE dalam sektor kejuruteraan pesawat di Asia Pasifik.

“Kami berbangga kerana ADE telah menempa satu lagi kejayaan hari ini dalam memacu dan mengubah perkhidmatan MRO dengan ketara, sama seperti AirAsia mencipta pasaran baharu untuk sektor perjalanan lebih 20 tahun lalu,” katanya.

Hangar seluas 5,000 meter persegi tersebut dibina di kawasan seluas 43 hektar di Zon Perindustrian Bebas Lapangan Terbang Senai (SAFIZ) dan merupakan kemudahan MRO pertama di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai dan kemudahan MRO ketiga milik ADE. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN