PETALING JAYA: Bursa Malaysia dibuka rendah pada hari pertama dagangan 2023, mengambil petunjuk daripada prestasi semalaman Wall Street yang lemah.
Pada pukul 9.18 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 11.11 mata kepada 1,484.38 daripada 1,495.49 pada Jumaat lepas.
Pasaran ditutup pada Isnin untuk menggantikan cuti Tahun Baharu yang jatuh pada Ahad.
Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, pasaran Bursa Malaysia dijangka terus berhati-hati berdasarkan situasi ekonomi global yang mempengaruhinya pada tahun lalu masih berterusan di tahun baharu 2023.
Jelasnya, ia termasuk kadar inflasi yang tinggi, krisis geo-politik Russia Ukraine serta ancaman jangkitan baharu virus Covid-19 dari China yang mula merebak ke seluruh rantau termasuk Malaysia.
“Bursa saham utama di dunia juga turut memberi reaksi tidak memberangsangkan untuk ekonomi tumbuh malah pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia dijangka lebih perlahan.
“Ini disebabkan ekonomi negara-negara membangun seperti Amerika Syarikat ( AS) dan negara-negara Kesatuan Eropah yang dijangka meleset tahun ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata, mata wang ringgit dijangka bertahan dalam julat RM4.35 ke RM4.42 berbanding dolar AS, berikutan para pengurus dana menunggu pengumuman seterusnya dari Rizab Persekutuan AS untuk menaikkan lagi kadar faedah.
“Ringgit dijangka seiring dengan mata wang rantau Asia dalam kenaikan dan penurunan minggu ini,” ujarnya.
Pada pukul 5 petang semalam, FBM KLCI berada pada 1,473.99 turun 21.50 mata, FBMACE berada pada 5,337.15 naik 28.82 mata, dan FBMEmas berada pada 10,587.35 turun 114.20 mata.
Sebanyak 386 kaunter untung, 494 rugi dan 390 kaunter didagangkan tidak berubah di Bursa Malaysia, dengan jumlah dagangan berada pada 3.720 bilion saham bernilai RM1.471 bilion.
Ringgit pula ditutup lebih rendah sedikit berbanding dolar AS daripada 4.4150/4.3900 pada 30 Disember 2022 kepada 4.4000/4.4040 petang semalam. Ringgit didagangkan bercampur-campur dan ditutup lebih kukuh berbanding beberapa mata wang utama lain seperti pound sterling 5.3038 daripada 5.3271, euro (4.6952 daripada 4.7099) dan dolar Singapura (3.2808 daripada 3.2866). – UTUSAN










