Bursa dijangka menurun sedikit minggu ini

Bursa dijangka menurun sedikit minggu ini

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bursa Malaysia dijangka menurun sedikit minggu ini susulan pendekatan tunggu dan lihat yang diambil pelabur ekoran ketidaktentuan pasaran termasuk kelemahan ekonomi serantau dan kejutan harga ekonomi.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Rasidah Mohd Rashid berkata, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dijangka akan mencatatkan penurunan sekitar 1,475 hingga 1,480 mata pada minggu ini.

Menurut beliau, tindakan para pelabur mengambil pendekatan tunggu dan lihat situasi ketidaktentuan pasaran juga mendorong berlakunya sentimen yang menyebabkan pasaran menjadi lebih lemah.

“Kelemahan ekonomi serantau, kejutan harga komoditi, pengangguran di Amerika Syarikat (AS), kecairan pasaran yang tidak memberangsangkan dan inflasi adalah faktor-faktor yang dijangkakan memberi kesan kepada pasaran buat masa ini.

“Ini selaras dengan ketidaktentuan pertumbuhan tiga ekonomi besar iaitu AS, Kesatuan Eropah (EU) dan China yang bergerak secara perlahan dan serentak,” katanya.

Mengulas lanjut, Rasidah berkata nilai mata wang tempatan juga dijangka bergelut untuk meningkat minggu ini disebabkan  permintaan untuk dolar AS meningkat.

Katanya, berlaku penurunan di dalam data pekerjaan di AS hingga mendorong permintaan mata wang asing berkenaan meningkat selain harga minyak mentah asli yang rendah.

“Penurunan di dalam data pekerjaan di AS serta harga minyak mentah dan asli yang rendah tidak membantu ringgit dan oleh itu, ringgit dijangkakan berada dalam RM4.40 hingga RM4.45,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul La­tiff berkata, pihaknya melihat bursa dan nilai ringgit akan kekal menyederhana minggu ini tanpa pergerakan drastik melibatkan penurunan atau peningkatan.

“Ini kerana bebeapa faktor seperti menunggu penggumuman Bank Negara Malaysia (BNM) pada pertengahan Januari tentang Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang terkini dan juga melihat pembukaan ekonomi China pada minggu depan.

“oleh itu semua pelabur dijangkan akan mengambil sikap berhati-hati dan menunggu minggu ini,” katanya.

Dalam sesi dagangan hari ini pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dibuka  pada 1,480.55 pada pukul 9.05 pagi, meningkat 4.59 mata sebelum melonjak naik 12.87 mata kepada 1493.42 mata berbanding penutupan 1,480.55  mata Jumaat lalu.

Manakala ringgit pula mengukuh  kepada 4.3780/3755 berbanding dolar AS daripada 4.4040/4020 pada penutupan urus niaga Jumaat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN