BNM dijangka naikkan OPR kepada 3.0 peratus pada Mac - Utusan Malaysia

BNM dijangka naikkan OPR kepada 3.0 peratus pada Mac

NEGARA berjaya meraih komitmen pelaburan sebanyak RM63.02 bilion daripada syarikat gergasi teknologi di AS.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: MIDF Research menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) akan kembali meningkatkan semula Kadar Dasar Semalaman (OPR) kepada 3.0 peratus seperti sebelum pandemik Covid-19 dalam mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) pada Mac ini.

Firma penyelidikan itu percaya, penetapan semasa dasar monetari BNM adalah untuk memastikan ekonomi Malaysia terus berkembang dengan mampan. 

“Berdasarkan trend inflasi teras yang semakin meningkat dan permintaan domestik yang lebih kukuh daripada jangkaan, kami meramalkan BNM akan kembali menetapkan OPR kepada 3.0 peratus menjelang Mac ini. 

“Kami juga berpendapat bank pusat akan kembali menetapkan Keperluan Rizab Berkanun (SRR) kepada 3.0 peratus daripada 2.0 peratus pada tahun ini. 

“Kadar SRR sebelum ini dikurangkan kepada 2.0 peratus sejak Mac 2020,” katanya dalam satu nota kajian. 

Jelas firma penyelidikan itu, keputusan itu bagaimanapun tertakluk kepada pertumbuhan ekonomi dan kenaikan harga semasa. 

Selain itu, katanya, kenaikan OPR juga dipengaruhi oleh keadaan semasa makroekonomi terutama pemulihan berterusan dalam pasaran tenaga kerja selain peningkatan permintaan dalam pasaran domestik. 

“Daripada perspektif jangka sederhana, normalisasi kadar dasar diperlukan untuk mengelakkan risiko yang boleh menjelaskan kestabilan prospek ekonomi masa depan seperti inflasi tinggi yang berterusan dan peningkatan lagi dalam hutang isi rumah,” katanya. 

Kelmarin, BNM menerusi MPC membuat keputusan mengejut mengekalkan OPR pada paras 2.75 peratus.

Ia selepas kenaikan OPR empat kali berturut-turut sejak tahun lalu bermula Mei, Julai, September dan November lalu, dengan masing-masing meningkat sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus berbanding paras rekod terendah 1.75 peratus sebelumnya.

Berikutan pengekalan itu, jajaran kadar tertinggi dan terendah koridor bagi OPR turut dikekalkan masing-masing kepada 3.00 peratus dan 2.50 peratus.

Keputusan MPC mengekalkan penanda aras pinjaman itu adalah di luar jangkaan susulan sebahagian besar penganalisis meramalkan kenaikan ke paras sebelum pandemik iaitu kenaikan 25 mata asas lagi kepada 3.0 peratus. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya