PETALING JAYA: Padiberas Nasional Berhad (Bernas) dinobatkan sebagai penerima Anugerah Platinum pada Anugerah Integriti, Governans dan Antirasuah (AIGA) 2022 yang julung kalinya dianjurkan oleh Institut Integriti Malaysia (IIM).
Anugerah berkenaan disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof kepada Pengarah Urusan Kumpulan Bernas, Datuk Haris Fadzilah Hassan.
Bernas mengalahkan empat lagi pencabarnya iaitu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Johor Port Berhad, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Northport Bhd. yang turut bersaing merebut anugerah berkenaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Institut Integriti Malaysia (IIM), Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi berkata, sebanyak 116 penyertaan dari organisasi merangkumi sektor awam dan swasta di seluruh negara telah diterima IIM.
Katanya, daripada jumlah berkenaan, sebanyak 92 organisasi terpilih untuk menerima Anugerah AIGA 2022 yang merangkumi 16 Anugerah Emas, 34 Anugerah Perak dan 42 Anugerah Gangsa.
“Sebanyak lima penerima Anugerah Emas utama yang mendapat markah tertinggi telah dipilih untuk bersaing dalam kategori Platinum iaitu JBPM, Bernas, Johor Port, TNB dan Northport.
“Kelima-lima organisasi ini telah menunjukkan komitmen paling tinggi terutama di peringkat Pengurusan Tertinggi dalam memastikan pelaksanaan dan pembudayaan amalan integriti, tata kelola dan anti-rasuah dalam organisasi masing-masing,” katanya.
Tambahnya, penilaian kategori Platinum yang dilaksanakan oleh panel penilai khas terdiri daripada Tan Sri Abu Kassim Mohamed, Tan Sri Abdul Wahid Omar, dan Datuk Prof. Dr. Siti Hamisah Tapsir telah memilih Bernas sebagai penerima Anugerah Platinum AIGA pada tahun ini.
“Antara amalan terbaik BERNAS yang unik adalah saluran pendedahan maklumat bebas yang diuruskan oleh pihak ketiga di mana impak pelaksanaan terbukti melalui peningkatan jumlah laporan yang diterima.
“Ia jelas menunjukkan kepercayaan dan keyakinan pemberi maklumat tentang kebebasan dan keselamatan organisasi untuk melaporkan sebarang kesalahan integriti dan rasuah dalam organisasi tersebut,” katanya. – UTUSAN










