Batik Air gagal beri bukti kukuh - MAVCOM

Batik Air gagal beri bukti kukuh – MAVCOM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) mendapati Batik Air gagal memberi bukti kukuh bagi mengesahkan syarikat penerbangan itu telah mengambil kesemua langkah pemakluman berkenaan gangguan penerbangannya dari Kuala Lumpur ke Kuching pada 22 Disember lalu.

MAVCOM dalam satu kenyataan memaklumkan, penerbangan Batik Air OD 7634 yang membawa 170 penumpang dijadualkan berlepas pukul 11.35 malam itu ditangguhkan selama lapan jam.

Menurut MAVCOMM, susulan daripada itu siasatan telah dijalankan di bawah perenggan-perenggan 8 (1) dan 12 (6) Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016 (MACPC).

“Batik Air telah memberikan maklumat berkaitan gangguan penerbangan OD 7634 dari Kuala Lumpur ke Kuching kepada pihak MAVCOM, namun kami tidak berpuas hati dengan maklumat yang diberikan berhubung gangguan komunikasi penerbangan kepada pengguna yang terjejas.

“MAVCOM telah mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada Batik Air pada 12 Januari 2023 untuk mengemukakan representasi secara bertulis kepada MAVCOM,” katanya.

Jelas MAVCOM, ia merupakan kewajipannya untuk memastikan penyiasatan dijalankan secara objektif dan mendalam sebelum sebarang tindakan penguatkuasaan dilaksanakan.

Katanya, syarikat penerangan yang didapati bersalah boleh dikenakan penalti kewangan yang tidak melebihi RM200,000 untuk kesalahan pertama dan 10 kali ganda amaun penalti tersebut untuk ketidakpatuhan kedua atau seterusnya.

“Sehingga kini, Suruhanjaya telah mengenakan penalti kewangan berjumlah RM4.7 juta terhadap syarikat penerbangan kerana ketidakpatuhan kepada MACPC,” katanya.

Sementara itu, siasatan berhubung pembatalan penerbangan D7 219 oleh AirAsia X Berhad (AirAsia X) dari Melbourne ke Kuala Lumpur pada 2 Januari 2023 mendapati syarikat penerbangan tambah murah berkenaan mematuhi MACPC.

MAVCOM berkata, pihaknya mendapati AirAsia X telah menawarkan pilihan untuk mengurangkan beban gangguan penerbangan bagi pengguna yang terjejas menurut MACPC.

“AirAsia X telah menawarkan pengguna bayaran balik penuh tiket penerbangan atau penerbangan alternatif sama ada pada tarikh yang terdekat atau tarikh lain yang bersesuaian kepada pengguna sekiranya berlaku pembatalan penerbangan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN