PETALING JAYA: AirAsia X (AAX) menjangkakan penerbangan tiga kali seminggu ke Osaka, Jepun akan membawa lebih 116,000 penumpang antara Malaysia dan negara matahari terbit itu setiap bulan.
Ketua Pegawai EKsekutif AAX Malaysia, Benyamin Ismail berkata, penyambungan semula penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA 2) ke Osaka bermula Jumaat lalu bakal merangsang sektor pelancongan kedua-dua negara.
“Kami berbesar hati untuk memulakan tahun baharu dengan pengumuman laluan ke-13 kami iaitu dari Kuala Lumpur ke Osaka selepas menyambung semula perkhidmatan dari Kuala Lumpur ke Tokyo (Haneda) dan Sapporo pada akhir tahun lepas.
“Kami telah membawa hampir 30,000 tetamu antara Malaysia dan Jepun selepas pandemik,” katanya dalam kenyataan.
Tambahnya lagi, AAX amat berbesar hati melihat permintaan kukuh bagi penerbangan sulung itu dengan muatan melebihi 95 peratus di samping yakin bahawa laluan berkenaan akan diterima dengan baik walaupun ia kompetitif.
“Apabila permintaan perjalanan semakin meningkat, kami akan terus mengembangkan perkhidmatan kami ke destinasi menarik di Asia dari hab serantau kami di Kuala Lumpur dan Bangkok.
“Untuk meraikan perkhidmatan semula ke salah satu destinasi paling popular kami, AAX menawarkan tambang termasuk semua bernilai hebat antara Kuala Lumpur dan Osaka daripada RM699 sehala untuk tempat duduk ekonomi atau RM2,999 sehala untuk Premium Flatbed,” katanya.
Terdahulu, penerbangan sulung berkenaan berlepas dari Kuala Lumpur pada pukul 11.45 malam Jumaat dan tiba di Osaka pada pukul 7.15 pagi Sabtu.
Bagi meraikan penyambungan semula perkhidmatannya ke kota kulinari Jepun itu, para penumpang diberi cenderamata serta diraikan dengan persembahan istimewa sebelum menaiki pesawat berkenaan.
AAX melakukan penerbangan ke tiga destinasi di Jepun iaitu Tokyo, Osaka dan Sapporo dari Kuala Lumpur yang dikendalikan oleh AirAsia X Malaysia dan dari Bangkok (Suvarnabhumi) dikendalikan oleh AirAsia X Thailand. – UTUSAN










