KLANG: Vinda International Holdings Limited meletakkan keyakinan kepada negara ini dengan melabur kira-kira RM600 juta untuk mewujudkan Hab Serantau Vinda Asia Tenggara (Vinda SEA) di kawasan Perindustrian Bandar Bukit Raja, di sini.
Nilai pelaburan sedemikian disifatkan sebagai mercu tanda komitmen Vinda SEA terhadap negara ini dengan menjangkakan kapasiti kemampuan pengeluaran produk meningkat kepada 20 peratus.
Presiden Vinda Group SEA, Su Ting Nee berkata, nilai lebih setengah bilion ringgit itu bakal melibatkan pembangunan sebuah kilang pengeluaran dua tingkat di atas tapak seluas kira-kira 12.1 hektar dengan kelengkapan canggih.
“Lokasi berkenaan bakal menempatkan gudang bahan mentah dan gudang barangan siap. Di atas tapak yang sama turut diwujudkan pusat pengedaran, Pusat Inovasi Vinda serta blok pentadbiran enam tingkat.
“Hab Selangor ini didedikasikan untuk lebih 25 pasaran dan menggunakan konsep Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0),” katanya pada Majlis Perasmian Hab Serantau Vinda SEA, semalam.
Beliau menambah, dengan kewujudan hab serantau itu, lebih banyak peluang pekerjaan dapat dicipta di samping membawa produk yang lebih bermutu ke seluruh benua Asia.
Dalam pada itu, Ting Nee memaklumkan, hab serantau ini katanya, akan memusatkan kepakaran dan aktiviti bernilai tinggi di Malaysia, sekali gus mengukuhkan lagi kemahiran dan kemampuan negara.
“Di masa akan datang, kami juga akan membangunkan sebuah lagi tapak seluas 8 hektar. Selain itu, pembangunan bakat tempatan adalah diutamakan, dan fasiliti baharu ini kini menempatkan lebih 1,400 kakitangan yang terdiri daripada 99 peratus komuniti tempatan.
“Pembangunan ini juga membantu menjadikan Vinda Group lebih berdaya saing di peringkat global, dengan menggunakan teknologi termaju dan terkini yang menampilkan automasi berskala besar dan kecerdasan buatan (AI),” ujarnya. – UTUSAN










