PETALING JAYA: Tenaga Nasional Berhad (TNB) melalui anak syarikat milik penuhnya, Vantage RE Ltd. (Vantage RE) menandatangani kontrak kejuruteraan, perolehan dan pembinaan (EPC) dengan BELECTRIC GmbH (BELECTRIC) untuk pembinaan dan pentauliahan ladang solar 102MW di United Kingdom (UK), baru-baru ini.
Projek itu juga termasuk pilihan untuk membangunkan Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) 65MW setempat dan berupaya meningkatkan aliran hasil TNB melalui penyertaan dalam perkhidmatan sampingan dan pasaran kapasiti.
Pelaburan itu adalah satu pencapaian penting bagi TNB sempena perluasan penglibatannya dalam pembangunan Tenaga Boleh Baharu (TBB) di United Kingdom.
Ladang solar tersebut dijangka mencapai Tarikh Operasi Komersial (COD) menjelang suku pertama 2024 dan apabila beroperasi kelak, ladang yang dibangunkan di dua lokasi itu dijangka memberikan hasil jangka panjang yang stabil di bawah skim subsidi Contract-for-Difference (CfD) selama 15 tahun yang telah diperolehi pada Julai 2022.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din berkata, pihaknya berbesar hati dapat bekerjasama dengan BELECTRIC sambil TNB mengembangkan portfolio penjanaan tenaga solarnya di UK, meneruskan kemaraan dalam usaha Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) di peringkat global demi mencapai pelepasan sifar karbon menjelang 2050.
Ujarnya, pengalaman dan kepakaran TNB dalam membangunkan ladang solar di Malaysia melalui projek solar berskala besar (LSS) penting dalam memastikan projek ini berjaya, seterusnya mengukuhkan kehadiran syarikat dalam lapangan TBB UK.
“Ini adalah langkah penting ke arah perniagaan TNB yang kalis masa depan dalam peralihannya kepada ekonomi hijau dan memastikan ia terus menjaga kepentingan nilai pemegang sahamnya.
“Penglibatan dalam kegiatan pembangunan greenfield bagi penjanaan tenaga hijau ini adalah sejajar dengan aspirasi TNB untuk menjadi penyedia tenaga mampan global.
Beliau berkata, pelaburan itu telah meningkatkan kapasiti TBB TNB di UK kepada 632MW, pertumbuhan ketara 61 peratus dalam kapasiti MW sejak pelancaran Vantage RE pada Julai 2021.
“Untuk pencapaian tahunan hingga kini bagi suku ketiga 2022, sumbangan Pendapatan Sebelum Faedah, Cukai, Susut Nilai dan Pelunasan (EBITDA) daripada portfolio TBB UK kami telah meningkat sebanyak 31.7 peratus tahun ke tahun kepada GBP55.6 juta.
“Ini menandakan prestasi kewangan yang sihat secara berterusan melalui pendekatan pengurusan aset yang aktif oleh TNB,” ujarnya.
Pasukan Vantage RE akan memantau pelaksanaan projek ini yang bakal menjana tenaga bersih dalam memenuhi keperluan tahunan 37,000 kediaman, serta menghindari pelepasan lebih 46,750 tan karbon dioksida (CO2) berbanding penjanaan bahan api fosil.
Kedua-dua tapak juga menawarkan peluang inisiatif terhadap alam sekitar yang menggalakkan faedah kepelbagaian biodiversiti, sekali gus menyokong agenda biodiversiti TNB yang lebih luas. – UTUSAN










