Tiong Nam, JLG bangunkan taman industri berteknologi tinggi di Johor - Utusan Malaysia

Tiong Nam, JLG bangunkan taman industri berteknologi tinggi di Johor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tiong Nam Logistics Holdings Berhad (Tiong Nam), anak syarikat milik penuh Tiong Nam Logistics Solutions Sdn. Bhd. (TNLS) memeterai perjanjian usaha sama (JV) untuk membangunkan taman industri logistik berteknologi tinggi di atas tanah seluas 300 ekar di Lembah Teknologi Sedenak, Johor.

Perjanjian tersebut dimeterai dengan JLand Group Sdn. Bhd. (JLG), anak syarikat milik penuh Johor Corporation.

Tiong Nam dalam kenyataan berkata, perjanjian tersebut susulan perjanjian kerjasama awal yang diumumkan pada Ogos lalu, merangkumi komitmen kedua-dua pihak untuk melaksanakan pembangunan itu.

Katanya, taman perindustrian tersebut bertujuan untuk menarik perusahaan asing dan domestik dan berfungsi sebagai nod utama dalam pengurusan rantaian bekalan mereka.

“Pembangunan itu akan terdiri daripada gudang, kilang, dan bangunan komersil yang siap dibina dan disesuaikan, serta infrastruktur logistik bersepadu untuk perniagaan global.

“Sebuah syarikat JV iaitu JTN Logistics Park Sdn. Bhd. (JTN), akan digunakan  untuk menjalankan pengambilalihan tanah seluas 121.4 hektar, serta pembangunan dan pengurusan taman perindustrian itu,” katanya. 

Di bawah perjanjian itu, TNLS akan memegang 51,000 saham biasa, mewakili 51 peratus pegangan ekuiti, manakala JLG akan memegang baki 49,000 saham biasa atau 49 peratus pegangan ekuiti dalam syarikat JV.

JTN akan memperoleh tanah pembangunan daripada JLG dengan bayaran pembelian RM52.3 juta atau RM4 sekaki persegi. 

Tanah itu mempunyai tempoh pajakan selama 99 tahun dan kini berada di bawah hak milik Johor Corporation dan akan diperoleh oleh JLG sebelum dijual kepada JTN.

Pengarah Urusan Tiong Nam, Ong Yoong Nyock berkata, usaha sama dengan JLG adalah pengiktirafan terhadap keupayaan syarikat dan penting dalam rekod prestasi Tiong Nam dalam mengubah landskap logistik Johor sepanjang empat dekad lalu.

“Kami akan membawa nilai yang luar biasa kepada projek yang memenuhi matlamat strategik Johor, dengan memanfaatkan pengalaman kami sebagai penyedia perkhidmatan logistik dan pergudangan bersepadu yang terkemuka kepada pelanggan multinasional di seluruh Asia Tenggara.

“Pembangunan yang didayakan dengan teknologi itu juga akan meningkatkan infrastruktur logistik negeri untuk menyokong ketersambungan dan perdagangan antarabangsa yang lebih besar,” ujarnya.

Pembinaan taman perindustrian logistik itu dijangka bermula pada 2025 atau dalam tempoh tiga tahun selepas mendapat kelulusan untuk pelan susun atur pembangunan dan kelulusan pihak berkuasa lain yang berkaitan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya