PETALING JAYA: Jenama fesyen terkenal yang dipelopori dua sahabat baik, Rizman Ruzaini (RR) pernah bergelut dengan masalah perniagaan semasa serangan pandemik Covid-19, dua tahun lalu.
Tidak mudah berputus asa dan memikirkan solusi, Rizman berkata, RR berjaya mengekalkan 30 pekerja dengan mengembangkan bisnes melalui penjualan cecair pembasmi kuman dan pelitup muka.
Selain mengekalkan pekerja sedia ada, RR turut menambah bilangan staf sebanyak 80 orang.
“Sebelum ini, kami menjalankan perniagaan menjual baju pengantin dan sangat terjejas apabila majlis perkahwinan tidak dapat dianjurkan disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Sejak itu, kami meneroka perniagaan lain seperti menjual kemeja T secara dalam talian. Kami tak sangka sambutan sangat menggalakkan sebab orang ramai banyak meluangkan masa depan telefon pintar.
“Alhamdulillah, hari pertama kami berjaya menjual 3,000 set cecair pembasmi kuman dan kami lihat kuasa membeli sangat kuat ketika itu,” katanya ketika ditemui semasa pelancaran Flagship Store RR di pusat beli-belah Four Seasons, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Rizman berkata, pihaknya memilih Four Seasons sebagai lokasi pertama pembukaan cawangan kedai kerana melihat potensi untuk perniagaan berkembang pesat.
“Sasaran dalam masa setahun sebanyak 10 flagship akan dibuka di zon Kuala Lumpur, utara, selatan dan timur serta pasar raya lain.
“Kami juga merancang untuk membuka sebanyak 30 gerai dalam pasar raya yang fokus menjual tudung dan beg tangan. Dalam masa sama, kami mengkaji pelbagai sudut seperti kuasa beli, persaingan dan lokasi,” jelasnya.
Berkenaan julat harga, RR menawarkan harga permulaan dari RM59 sehingga RM3,000 bagi setiap produk yang ditawarkan seperti tudung, beg dan baju sekali gus menepis stigma jenama RR hanya untuk golongan kayangan.
Sementara itu, Ruzaini berkata, pihaknya optimis dapat menembus pasaran antarabangsa kerana berhasrat menjadi rujukan bagi syarikat tempatan lain.
“Kita mahu RR ini dijadikan panduan oleh syarikat tempatan lain dan pakaian yang dihasilkan akan mengikut trend antarabangsa. Contohnya, koleksi baju dihasilkan semasa musim panas, sejuk dan bunga.
“Kami juga mahu setiap bulan akan ada keluaran baharu supaya dapat setanding dengan jenama antarabangsa yang sudah lama bertapak di negara ini,” kongsinya. – UTUSAN










