Syarikat penerbangan perlu tingkat komunikasi antara penumpang - Utusan Malaysia

Syarikat penerbangan perlu tingkat komunikasi antara penumpang

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menunjukkan harga tambang tetap pada majlis pengumuman kadar tambang tetap AirAsia ke Sabah dan Sarawak sempena Tahun Baharu Cina di AirAsia RedQ Sepang di sini hari ini. Turut serta Ketua Eksekutif AirAsia Aviation Group Limited, Bo Lingam (dua kiri) -UTUSAN/FAUZI BAHARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Kementerian Pengangkutan (MOT) mahu syarikat penerbangan memperbaiki aspek komunikasi antara penumpang khususnya ketika berdepan kelewatan atau penangguhan penerbangan.

Menterinya, Anthony Loke berkata, pada masa sama, katanya, pihaknya juga berharap syarikat penerbangan juga dapat mengurangkan isu kelewatan penerbangan.

Beliau berkata, pihaknya berharap isu berkenaan dapat diminimumkan namun pada sama sama, penumpang perlu faham kerana isu itu tidak dapat dielakkan disebabkan faktor cuaca seperti insiden yang menimpa Batik Air.

“Kami harap aspek komunikasi antara penumpang berhubung soal kelewatan dapat ditangani dengan baik dan perlu diberi perhatian sewajarnya,” katanya ketika ditemui selepas majlis pengumuman penerbangan tambahan AirAsia sempena Tahun Baharu Cina, di sini semalam.

Mengulas isu kelewatan penerbangan Batik Air yang tular sebelum ini, Anthony berkata, pesawat berkenaan terpaksa dilencongkan ke Langkawi disebabkan cuaca buruk.

“Sebaik mendarat di Langkawi, juruterbang terbabit didapati sudah bertugas melebihi masa penerbangan, jadi satu set kru baharu terpaksa diterbangkan ke Langkawi untuk mengambil alih tugas.

“Namun, itu semua bukan alasan, tapi apa yang saya cuba beritahu adalah dari segi keadaan, pesawat itu beroperasi dalam keadaan yang mencabar jadi berlaku kelewatan yang tidak dapat dielakkan,” katanya.

Ditanya mengenai gesaan penumpang yang mengalami kelewatan penerbangan supaya diberi bayaran balik berbanding baucar percuma, Anthony berkata, beliau tidak pasti sama ada bayaran balik itu menjadi sebahagian syarat selepas pembelian tiket.

“Jika penumpang tidak gembira dengan apa yang diberikan, mereka boleh membuat aduan kepada Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM),” katanya.

Baru-baru ini, Batik Air memberi jaminan akan menghubungi  penumpang yang mengalami  kelewatan penerbangan hampir lapan jam dalam kejadian Khamis lalu selain akan turut memberikan baucar percuma khas.

Dalam majlis sama, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Group Ltd, Bo Lingam berkata, AirAsia menawarkan tambang penerbangan serendah RM199 bagi laluan Kuala Lumpur dan Johor Bahru ke Sabah dan Sarawak yang mula dibuka untuk tempahan semalam.

Jelasnya, tawaran itu dibuat sempena musim perayaan Tahun Baharu Cina bulan depan membabitkan penerbangan bermula 17 hingga 30 Januari 2023.

“Tawaran itu membabitkan laluan Kuala Lumpur ke  Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri serta dari Johor Bahru ke Kuching, Sibu dan Miri dengan tambang RM199 sehala.

“Kami juga menawarkan tambang sehala serendah RM249 bagi laluan Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu dan Tawau, serta Johor Bahru ke Kota Kinabalu.

“Pada musim perayaan itu, kami akan mengendalikan 52 penerbangan tambahan ke enam destinasi popular di dua negeri itu selain 274 penerbangan mingguan pada tambang biasa ke destinasi sama.

“Sebanyak 25,020 tempat duduk tambahan tersedia ke dua negeri itu bagi tempoh perayaan akan datang,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya