PETALING JAYA: Inovasi Smart and Easy Table (SnET) oleh Bank Rakyat mampu menangani isu beg berat dalam kalangan murid sekolah rendah di negara ini.
Menurut Bank Rakyat, inovasi itu merupakan inisiatif pengubahsuaian meja sekolah pertama di Malaysia.
Jelasnya, SnET dilakukan dengan kerjasama Institut Kemahiran MARA (IKM) Sungai Petani, Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Tun Uda (SMKRTU) serta sokongan Pejabat Pendidikan Daerah Barat Daya dan Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang.
Bank Rakyat telah bekerjasama dengan Sekolah Kebangsaan Seri Permai, Pulau Pinang bagi menjayakan inovasi itu yang merupakan inisiatif Jangkauan Komuniti bank berkenaan dan memanfaatkan lebih 1,300 murid bagi menangani isu beg berat dalam kalangan murid sekolah rendah.
“Kerjasama itu juga bertujuan memudahkan pelaksanaan inovasi SnET agar murid dapat merancang dan mengurus keperluan pembelajaran mereka dengan lebih efisien menggunakan lokar simpanan dan kompartmen sisi yang diubah suai pada meja sedia ada mereka,” katanya dalam kenyataan.
Jelas Bank Rakyat, idea inovasi SnET yang dicetuskan oleh Guru Besar SK Seri Permai, Mohammad Sabarullah Shaik Ismail melibatkan sebanyak 666 buah meja yang diubah suai dengan dua lokar berkunci untuk simpanan buku bagi kegunaan murid sesi pagi dan petang.
Selain itu, ia mempunyai tiga kompartmen sisi untuk penyimpanan barangan peribadi murid seperti kotak pensil, botol air dan satu ruangan khusus untuk tabung Kelab Nuri Bank Rakyat.
“Inisiatif ini juga adalah usaha berterusan Bank Rakyat dalam mempertingkat literasi dan rangkuman kewangan dalam kalangan murid menerusi penyediaan tabung Kelab Nuri sekali gus memperkasakan budaya menabung dalam kalangan generasi muda,” katanya. – UTUSAN










