SHAH ALAM: Bagi membantu golongan kurang berkemampuan dalam berdepan cabaran ekonomi pada tahun hadapan, pengeluar skuter elektrik pintar jenama Blueshark menawarkan pilihan untuk menyewa kenderaan tersebut kepada para pelanggannya.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ASEAN, Blueshark Ecosystem Sdn. Bhd., Jeff Chong berkata, pihaknya menyasarkan golongan B40 bagi tujuan tersebut kerana menyedari kemampuan terhad mereka dari segi kewangan sekiranya mahu membeli.
Selain itu, jelasnya, penggunaan dan penyenggaraan skuter elektrik adalah jauh lebih murah berbanding motosikal yang menggunakan petrol.
“Selain jualan, kami juga menyediakan khidmat sewaan untuk mereka yang mahu menambah pendapatan seperti menjadi penghantar makanan. Sasaran kami adalah golongan B40.
“Kadar sewa masih belum dimuktamadkan tapi sangat berpatutan, ratusan ringgit,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia dalam sesi memperkenalkan skuter elektrik pintar model R1 kepada media di bilik pameran jualan, servis dan alat ganti (3S) Blueshark di Taman Perindustrian Hicom-Glenmarie di sini, baru-baru ini.
Menurutnya, model berkenaan bakal berada di pasaran tempatan pada pertengahan Januari depan.
Beliau memberitahu, pihaknya menyasarkan jualan sebanyak 25,000 unit R1 untuk tahun depan.
Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan harganya sebaliknya memberi jaminan ia sangat berpatutan, iaitu dalam empat angka.
“Kami juga akan membuka lima bilik pameran di Lembah Klang, Johor (3) dan Pulau Pinang (2) pada tahun depan,” ujarnya.
Katanya, dalam masa sama, skuter elektrik pintar Blueshark juga akan dilancarkan di Indonesia, Singapura, Filipina dan Vietnam. – UTUSAN










