PETALING JAYA: Ringgit kembali menyusut berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Selasa berikutan ketidaktentuan yang berlarutan dalam pasaran dengan pelabur berbelah bahagi mengenai apa langkah dasar monetari Rizab Persekutuan (Fed) seterusnya, kata seorang peniaga.
Mata wang negara ditutup pada 4.4260/4.4320 pukul 5 petang Selasa berbanding 4.4120/4200 penutupan Isnin.
Peniaga ActivTrades Dyogenes Rodrigues Diniz dalam laporan Bernama berkata, pasaran meramalkan kadar faedah AS akan meningkat kepada 4.5 peratus daripada 4.0 peratus pada ketika ini.
“Walau bagaimanapun, semua mata akan tertumpu pada sidang akhbar yang akan diikuti oleh pengumuman keputusan kadar faedah kerana ia mungkin memberikan petunjuk penting tentang bagaimana Fed akan bertindak pada tahun 2023.
“Ini sama ada ia akan mengambil sikap yang lebih cenderung menaikkan kadar faedah atau sebaliknya,” katanya dalam satu nota hari ini.
Ringgit diniagakan kebanyakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama yang lain pada Isnin.
Mata wang tempatan menyusut nilai berbanding pound British kepada 5.4289/5.4381 daripada 5.4069/5.4172 pada penutup Isnin, lemah berbanding euro kepada 4.6677/4.6753 daripada 4.6516/4.6618 dan rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.2647/3.2704 daripada 3.2587/3.2651
Bagaimanapun, ringgit mengukuh nilai berbanding yen Jepun kepada 3.2152/3.2202 daripada 3.2235/3.2296 sebelumnya. – UTUSAN









