KOTA BHARU: Red Eagle Academy (REA) International Sdn. Bhd. yang ditubuhkan 12 tahun lalu bukan sahaja membantu usahawan menjana pendapatan lebih RM3,000 sebulan, malah ada dalam kalangan mereka sudah mencecah puluhan ribu ringgit.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengasasnya, Mahadir Abdul Hadi berkata, kejayaan yang diraih usahawan menerusi empat modul kursus yang telah disediakan iaitu Produk dan Krisis Pemulihan, Plan Bonus dan Sistem, Road to Success serta Cabaran Kepimpinan.
“Di REA kami bukan pilih orang-orang yang telah sedia hebat tetapi daripada pelbagai latar belakang dan peringkat usia. Saya turut tekankan ia bukan soal sepenuh masa atau sambilan tetapi lebih penting buat kerja sepenuh hati.
“Kita bukan bercakap mengenai kejayaan tetapi menampakkan kejayaan dan kita telah buktikan sejak REA ditubuhkan sehinggalah terbentuknya syarikat REA International yang memfokuskan pemasaran produk kecantikan dan kesihatan,” katanya ditemui selepas Majlis Konvokesyen REA 2022 di sini, kelmarin.
Seramai 35 graduan telah diraikan pada majlis tersebut yang memasuki tahun keenam sejak REA ditubuhkan pada 2010.
Mahadir memberitahu, besar harapannya agar graduan-graduan yang diraikan lebih bersemangat untuk mengecapi kejayaan lebih besar bersama REA pada masa hadapan.
Pada masa yang sama beliau menyeru orang ramai turut bersama-sama REA dalam mengubah kehidupan ke arah lebih baik.
“Untuk makluman, kita turut melancarkan produk keluaran terbaharu iaitu i-Sara Roasted Coffee. Pada masa sama, kita dalam rangka menyiapkan pembinaan Wisma REA dan projek ini sedang berjalan antara 30 hingga 35 peratus.
“Ia merupakan sebuah bangunan tiga tingkat dengan pelbagai kemudahan dan dijangka siap sepenuhnya pada penghujung tahun 2023. Insya-Allah, wisma ini akan mula beroperasi pada Januari tahun 2024 nanti,” ujarnya.
Sementara itu, Suhaimi Mat, 48, dari Setiu, Terengganu yang dinobatkan sebagai graduan terbaik lelaki memberitahu, REA telah mengubah keseluruhan hidupnya.
“Dulu saya seorang petani sepenuh masa dengan mengusahakan sekitar 30 ekar sawah. Sejak mengenali REA, secara perlahan-lahan saya melakukan transisi daripada petani sehingga menjadi usahawan REA sepenuh masa.
“Ia lebih mudah dan memberikan pendapatan lumayan. Kini usahawan di bawah saya telah mencecah 750 orang dan enam daripada mereka sudah bersama-sama saya menjadi graduan pada malam ini,” katanya.
Graduan terbaik wanita, Habsah Harun, 57, dari Kampung Laut, Tumpat pula berkata, REA memberi kesan mendalam buat dirinya kerana ia mempunyai keistimewaan yang dicari-cari selama ini.
“Walaupun masih baharu bersama REA saya sudah mampu membentuk ramai rakan niaga di bawah saya dan empat daripada mereka menjadi graduan malam ini,” katanya. – UTUSAN










