PLUS bakal wujudkan klinik komuniti di R&R

PLUS bakal wujudkan klinik komuniti di R&R

Majlis meraikan Hari Keselamatan PLUS edisi kelima di Persada PLUS, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) bakal menyediakan klinik komuniti di salah sebuah kawasan rehat dan rawatnya (R&R) bagi memberikan bantuan rawatan kesihatan kepada pelanggan lebuh raya kelolaannya.

Klinik tersebut dijangka mula beroperasi pada suku pertama 2023 melalui kolaborasi PLUS dengan pengamal perubatan yang berdaftar di bawah Kementerian Kesihatan (KKM).

“Sekiranya berjaya, lebih banyak klinik komuniti PLUS akan dibuka di kawasan-kawasan strategik sepanjang lebuh raya pada masa akan datang,” kata syarikat pengendali lebuh raya terbesar di Semenanjung Malaysia itu dalam satu kenyataan.

Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Zakaria Zabidi berkata, walaupun insiden kemalangan kecil dan masalah kesihatan pelanggan adalah di luar kawalan PLUS, kejadian-kejadian kecemasan tersebut memerlukan rawatan yang segera.

Lazimnya kata beliau, pe­langgan lebuh raya perlu mendapatkan bantuan rawatan kesihatan di luar kawasan lebuh raya.

“Kami sedar keperluan terhadap keperluan tersebut dan kami akan memulakan satu ujian rintis awam dengan menyediakan sebuah klinik komuniti PLUS di salah sebuah kawasan rehat dan rawat yang strategik di lebuh raya kami,” katanya.

PLUS baru-baru ini meraikan Hari Keselamatan edisi kelima di Persada PLUS, sambil melaungkan komitmen berterusan terhadap aspek kesihatan dan keselamatan sepanjang lebuh raya kendaliannya. Sambutan itu dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Wira Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman.

Turut hadir, Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Datuk Ir. Mohd. Shuhaimi Hassan dan Pengarah Urusan Kumpulan UEM, Datuk Mohd. Izani Ghani.
Hari Keselamatan PLUS yang disambut sejak 2017 itu telah menyaksikan evolusi minda keselamatan dalam kalangan warga kerjanya.

PLUS berjaya mengurangkan Lost-Time Injury (LTI) dalam kalangan warganya daripada 35 kes pada 2017 kepada hanya satu kes tahun ini, iaitu penurunan mendadak sebanyak 97 peratus.

Menurut Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail, setiap nyawa amat berharga, oleh itu keselamatan bukan sesuatu yang boleh dikompromi.

Di PLUS katanya, DNA syarikat adalah untuk memperkukuhkan ekosistem lebuh raya dan menjadikan lebih selamat dan selesan untuk pelanggan, terutama untuk warga kerja PLUS.
“Kami sedar, kami hanya meminjam mereka sementara daripada keluarga mereka. Oleh itu, ia adalah tanggungjawab kami untuk memastikan mereka pulang ke rumah dengan selamat ke pangkuan keluarga dan orang yang tersayang.

“Secara secara peribadinya berasa gembira dan bersyukur apabila inisiatif keselamatan dan kesihatan yang telah kami usahakan sejak lima tahun lalu membuangkan hasil dan ke­selamatan warga PLUS kini lebih terjamin dan terpelihara ketika menjalankan tugas harian mereka,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN