PETALING JAYA: Petroliam Nasional Bhd (Petronas) telah mencapai Keputusan Pelaburan Akhir (FID) untuk kemudahan gas asli cecair (LNG) berhampiran pantai di Sabah.
Kontrak Perolehan, Pembinaan dan Pentauliahan Kejuruteraan (EPCC) untuk projek itu telah dianugerahkan kepada pemenang kontrak Front End Engineering Design (FEED) pada Oktober tahun lalu.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, projek LNG adalah satu langkah yang betul kerana kerajaan negeri akan terus mengejar lebih banyak tawaran untuk mendapatkan pendapatan tambahan melalui penyertaan ekuiti untuk Sabah.
Katanya, FID dan penganugerahan kontrak EPCC menandakan satu lagi pencapaian penting bagi projek itu yang akan ditempatkan di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP).
“Projek LNG berhampiran pantai adalah hasil kajian bersama antara kerajaan negeri dan Petronas bagi mengenal pasti pilihan pengewangan gas optimum.
“Ia juga untuk memaksimumkan ekonomi jangka panjang ‘spin-off’ yang akan memberi manfaat kepada rakyat Sabah,” katanya dalam kenyataan bersama Petronas di sini, semalam.
Tambahnya, FID dan pemberian kontrak EPCC menandakan satu lagi kejayaan penting bagi projek yang terletak di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang, di mana ia dijangka menghasilkan dua juta tan LNG setahun.
Kemudahan itu dijadualkan mencapai operasi komersial menjelang separuh kedua 2027.
Sementara itu, Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Perniagaan Gas Petronas, Adnan Zainal Abidin berkata, pihaknya akan memanfaatkan kepakaran teknologi yang ada bagi pembangunan projek untuk membuka ‘kunci’ sumber gas secara optimum dan mesra alam.
“Pembangunan kemudahan di bawah Pelan Induk Gas Sabah akan mengukuhkan kedudukan negeri dan Malaysia secara keseluruhannya sebagai hab gas asli yang menarik, menyumbang kepada kemakmuran bersama Sabah dan negara.
“Petronas akan memanfaatkan kepakaran teknologi kami untuk pembangunan projek untuk membuka kunci sumber gas dengan cara yang optimum dan mesra alam,” ujarnya.
Menurut beliau, Petronas kekal tegas dalam menyokong aspirasi Kerajaan Negeri Sabah untuk industri minyak dan gasnya. – UTUSAN










