Pertama Digital lantik Saify Akhtar sebagai CEO

Pertama Digital lantik Saify Akhtar sebagai CEO

SAIFY AKHTAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pertama Digital Berhad (Pertama Digital) melantik Saify Akhtar sebagai Ketua Pegawai Eksekutif baharu dan Sivabalan Poobalasingam sebagai Ketua Pegawai Kewangan, berkuat kuasa 1 Disember 2022.

Pertama Digital dalam kenyataan memberitahu, Saify akan bertanggungjawab untuk menerajui dan memacu Pertama Digital ke hadapan dengan rancangan perniagaan yang berani dan inovatif bagi memastikan masa depan yang mapan dan menguntungkan.

Balan pula katanya, akan ditugaskan untuk menstruktur dan menumpukan dalam memantapkan kedudukan kewangan Pertama Digital melalui pengurusan kewangan yang berhemat seperti yang diperlukan oleh mana-mana syarikat senaraian awam.

Saify sebelum ini merupakan Pengarah Strategi di Pertama Digital dan memainkan peranan penting dalam memacu Syarikat melalui tahun-tahun progresif semasa penubuhannya.

“Semasa menjadi Pengarah Strategi, beliau telah membawa kejelasan, struktur dan fokus untuk Pertama Digital. Beliau membawa bersamanya dorongan dan pengalaman yang diperlukan untuk memimpin pembangunan Syarikat ke fasa pertumbuhan dan pengembangan strategik seterusnya.

“Saify akan ditugaskan untuk menerajui Pertama Digital melalui pelan strategik pendigitalan perkhidmatan kerajaan, pematuhan syariah dan kepimpinan serta pengalaman dan kepuasan pelanggan,” katanya.

Pengerusi Pertama Digital, Tun Zaki Azmi berkata, pemahaman dan komitmen Saify adalah penting dalam memastikan kejayaan rancangan masa depan Pertama Digital.

“Digabungkan dengan kekuatan kakitangan kami dan tawaran perkhidmatan, saya percaya beliau akan dapat memperkasakan syarikat ke tahap yang lebih tinggi. Beliau mempunyai kemahiran kepimpinan yang diperlukan untuk membimbing Pertama Digital untuk mencapai matlamat dan aspirasinya,” katanya.

Sementara itu, Balan pernah memegang jawatan penting termasuk Pengarah Kewangan di Kumpulan Edotco (Kumpulan Axiata) serta anak syarikat Khazanah Nasional Berhad, Rhizophora Ventures Sdn. Bhd.

Beliau bertanggungjawab ke atas perancangan perniagaan, kawalan belanjawan, operasi kewangan dan pelaporan berkanun untuk syarikat itu dan pada masa sama sambil memulakan pelbagai inisiatif pelaburan untuk Kumpulan Khazanah.

Pengalaman luas beliau dengan syarikat lain di Malaysia termasuk Pengarah, Ketua Pembangunan Perniagaan di Kuwait Finance House Asset Management dan Ketua Kewangan Korporat di Astro All Asia Networks (Usaha Tegas Group).

Zaki menambah, Balan juga akan memberikan nasihat dan hala tuju strategik C-Suite dalam usaha perniagaan semasa dan masa hadapan syarikat.

Ia termasuk perkara yang berkaitan dengan penggabungan dan pengambilalihan perniagaan berkaitan dalam bidang digital kami.

“Di samping Saify, mereka akan berusaha untuk memberikan pulangan yang lebih besar kepada para pemegang saham dan pelabur, serta meningkatkan peluang rakan kongsi pelaburan dalam masa depan yang berpotensi,” katanya.

Tambah Zaki, syarikat telah dan akan terus memantapkan diri kami untuk manfaat kerajaan, rakyat, pemegang saham dan pelabur.

“Saify akan memacu kami ke hadapan lebih pantas berbanding sebelum ini, dan kami akan lebih menumpukan pada kekuatan dan kebolehan kami secara keseluruhan dan Balan akan terus membangun dan meningkatkan kekuatan kewangan kami serta memastikan kekukuhan kewangan Pertama Digital,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN