Peningkatan penduduk di bandar beri tekanan kepada infrastruktur - Utusan Malaysia

Peningkatan penduduk di bandar beri tekanan kepada infrastruktur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Peningkatan penduduk di bandar dilihat akan memberi tekanan kepada infrastruktur bandar terutamanya dari aspek air bersih, perumahan, kesesakan jalan raya serta tekanan untuk mewujudkan peluang pekerjaan. 

Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, penghijrahan ke bandar-bandar besar menunjukkan pembangunan ekonomi yang tidak seimbang antara kawasan bandar dan desa serta kepupusan peluang pekerjaan yang baharu di kawasan luar bandar.

“Apabila ramai berhijrah ke bandar, mereka akan memerlukan tempat tinggal dan makanan, justeru akan berlaku peningkatan permintaan terhadap keperluan perumahan,  dan kemahuan untuk membeli kenderaan serta pertambahan penumpang kepada sistem pengangkutan awam.

“Begitu juga masalah air di Lembah Klang yang dihuni 10 juta orang telah menerima tekanan sekiranya berlaku gangguan bekalan air yang disebabkan pelbagai aspek seperti pencemaran, kebocoran paip dan kualiti air paip berikutan paip yang ada sekarang telah lama digunakan dan sering kali mengalami masalah seperti berkarat, injap rosak dan pelbagai lagi.

“Selain infrastruktur, tekanan ekonomi dan sosial turut wujud, misalnya peluang pekerjaan untuk generasi kedua dan ketiga yang sudah pun menjadi warga bandar sejak lahir.

“Jurang perbelanjaan keperluan adalah tinggi antara bandar dan luar bandar jelas sekali, hatta kakitangan kerajaan di bandar terpaksa mencari kerja sambilan selepas waktu bekerja untuk menampung kos perbelanjaan keluarganya.

“Dengan peningkatan jumlah penduduk bandar, ia juga akan memberikan kesan kepada jumlah subsidi yang perlu di keluarkan oleh kerajaan, kerana subsidi sekarang bersifat penggunaan dan keaktifan gaya hidup,” katanya kepada Utusan Malaysia. 

Beliau berkata, jika dilihat dari aspek pengangkutan terutama subsidi bahan api, penduduk yang berhijrah dan tinggal dibandar-bandar menggunakan kenderaan dan memiliki lebih banyak kenderaan bagi setiap isi rumah berbanding dengan mereka yang tinggal di luar bandar.

Justeru jelasnya, penggunaan subsidi bahan api yang tinggi pastilah wujud di bandar-bandar yang mempunyai lebih banyak kenderaan disebabkan oleh ramai penduduk. 

“Sebagai contoh, subsidi bahan api yang melambung dari hanya RM4 bilion waktu pembentangan Bajet 2022 tahun lepas kepada RM37.5 bilion. Jika dibandingkan, jumlah RM77.3 bilion ini adalah 23.3 peratus daripada keseluruhan Bajet 2022 iaitu RM332.1 bilion.

“Pecahan daripada jangkaan subsidi adalah untuk bahan api iaitu petrol, diesel,gas petroleum cecair (RM37.5 bilion), minyak masak (RM4 bilion), tepung dan bekalan tenaga elektrik (RM9.7 bilion) lain-lain subsidi (RM14.6 bilion) serta Bantuan Keluarga Malaysia (RM11.7 bilion).

“Itu belum lagi dikira peningkatan garis panduan B40 apabila penghijrahan dari bandar yang mungkin berada dalam segmen M40 tapi kini diklasifikan kepada B40, begitu juga dengan klasifikasi miskin luar bandar kepada miskin bandar.

“Maka ini juga menyebabkan perbelanjaan subsidi kerajaan meningkat melalui pelbagai bantuan kerajaan,” katanya lagi. 

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Russayani Ismail berpendapat, peningkatan subsidi sememangnya tidak dapat dielakkan apabila ramai penduduk berhijrah ke bandar kerana ia akan menimbulkan masalah kemiskinan. 

“Justeru, subsidi-subsidi seperti barang, tunai dan pukal pasti akan meningkat untuk mengurangkan masalah kewangan yang dihadapi. 

“Namun, masalah penghijrahan ke bandar masih boleh ditangani dengan menambah baik keadaan di kawasan kampung dan pedalaman. 

“Sebagai contoh, peningkatan penggunaan teknologi di kawasan terbabit akan banyak membantu anak-anak muda untuk melakukan kerja dari jauh dan pergi ke pejabat di bandar hanya sekali sekala.

“Itu tidak mustahil untuk dilakukan tetapi infrastruktur di kampung mestilah lengkap,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya