Astro catat PATAMI RM73 juta pada suku ketiga 

Pendapatan Astro naik kepada RM926 juta suku ketiga 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Astro Malaysia Holdings Berhad (Astro) mencatat keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) ternormal sebanyak RM73 juta bagi suku ketiga tahun kewangan berakhir 31 Januari 2023.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro, Henry Tan berkata, PATAMI terkesan dengan impak kerugian pertukaran mata wang asing yang tidak terealisasi kerana liabiliti pajakan kewangan transponder yang disebabkan oleh kenaikan dolar Amerika Syarikat (AS)

Katanya, pendapatan syarikat naik kepada RM926 juta dari suku ke suku, dipacu oleh prestasi perbelanjaan iklan (Adex) yang kukuh pada suku tersebut, naik 27 peratus kepada RM110 juta suku ke suku.

“Kumpulan kekal menjana wang dan proaktif terhadap pengurusan kapital. Namun dengan keadaan makroekonomi dan turun naik mata wang asing, Lembaga mengumumkan interim dividen ketiga sebanyak 0.75 sen sesaham.

“Kami akan terus melabur semula dalam pelan transformasi untuk jangka masa panjang dan pertumbuhan mampan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro-Designate, Euan Smith berkata, pihaknya terus mengambil peluang dalam pembangunan pasaran jalur lebar.

Menurutnya, pihaknya melancarkan BIZfibre baru-baru ini untuk menawarkan pelanggan perusahaan termasuk solusi ketersambungan dan hiburan ‘one-stop’ kepada perushaan kecil dan sederhana (PKS) pada nilai hebat.

“BIZfibre menawarkan ketersambungan yang pantas, lebih dipercayai dan stabil serta gabungan yang sempurna kepada pek TV komersial kami yang memaparkan sukan siaran langsung, program TV terbesar, filem ‘blockbuster’ serta berita terkini.

“BIZfibre akan menyumbang kepada pertumbuhan jalur lebar dan pelanggan perusahaan kami,” ujarnya.

Tambahnya, pada suku yang sama, jalur lebar Astro naik 34 peratus tahun ke tahun apabila ramai pelanggan menggabungkan jalur lebar dengan kandungan untuk kemudahan dan nilai.

“Astro terus menawarkan lebih banyak tawaran pilihan dan kemudahan dengan pek TV, Sports Plus dan Movies Plus termasuk Netflix.

“Sejajar dengan strategi pengagregatan penstriman Astro, Astro baru sahaja menambah aplikasi BBC Player ke Ultra Box yang membolehkan penonton strim rancangan kegemaran mereka daripada jenama-jenama global BBC seperti BBC First, BBC Brit, BBC Earth, BBC Lifestyle dan CBeebies,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×