PETALING JAYA: Konsortium Syarikat Pertengahan Malaysia (MCMTC) mahu sebarang perkhidmatan yang bertindih di peringkat kementerian membabitkan pengambilan pekerja asing, dihapuskan kerana ia hanya mengelirukan dan menambah kos yang tidak perlu.
Presidennya, Callum Chen berkata, pihaknya bersetuju dengan kenyataan Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) agar hanya satu agensi mengendalikan keseluruhan proses pengambilan pekerja asing untuk memastikan kejelasan, ketelusan dan kecekapan yang lebih tinggi.
Katanya, MCMTC ingin melihat lebih banyak kecekapan dan ketelusan dalam jentera kerajaan.
“Malaysia mempunyai populasi yang kecil dan banyak industri masih berintensif buruh serta bergantung kepada tenaga kerja asing.
“Buat masa ini, memohon dan mendapatkan tenaga kerja asing memerlukan banyak masa, usaha dan kos untuk berurusan dengan pelbagai agensi seperti Kementerian Sumber Manusia (KSM), Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Tenaga Kerja di bawah KSM.
“Bagi mereka dalam bidang pembuatan pula membabitkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI),” katanya dalam kenyataan.
Pada Februari 2022, pengurusan pekerja asing diserahkan kepada KSM daripada KDN.
Sementara itu, kerajaan pada 21 Disember 2022 mengumumkan Sistem Satu Saluran (OCS) ditempatkan di bawah KSM dan Pusat Sehenti (OSC) di bawah KDN.
Callum mempersoalkan, mengapa wujud keperluan untuk melibatkan pelbagai kementerian dengan pelbagai penyerahan dokumen?
“Adakah terdapat penambahbaikan dalam sistem atau lebih banyak kekeliruan? Boleh tak kita mempunyai satu kementerian dengan satu sistem dalam talian yang telus dan mudah digunakan?” soal beliau.
Tambahnya, KSM ialah organisasi yang menyelia perancangan, pengurusan dan pembangunan sumber tenaga kerja Malaysia, justeru, ia menjadi kementerian yang sesuai untuk menguruskan pengambilan serta pengurusan pekerja.
Jelasnya, KDN pula mengawal hal ehwal imigresen seperti pengeluaran permit kerja. – UTUSAN










