PETALING JAYA: Kadar inflasi pada Disember dijangka kekal tinggi sekitar 4.0 peratus susulan penurunan Indeks Harga Pengeluar (IHPR) kepada 4.0 peratus pada Oktober daripada 4.9 peratus bulan sebelumnya.
Serentak itu, penganalisis ekonomi tidak menolak kemungkinan Kadar Dasar Semalaman (OPR) mungkin dinaikkan lagi pada tahun hadapan bagi membendung kenaikan berterusan inflasi.
Kenaikan OPR itu juga dilihat perlu bagi memastikan pelaburan di Malaysia kekal kompetitif berbanding pelaburan di luar negara.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, kebiasaannya IHPR memberi bayangan kepada Indeks Harga Pengguna (IHP) yang mengukur kadar Inflasi negara untuk bulan seterusnya.
Katanya, kadar inflasi yang kekal tinggi pada 4.0 peratus akan berterusan memberi tekanan kepada ekonomi dan rakyat dari segi kos sara hidup yang masih lagi membebankan rakyat.
“Kerajaan boleh meneruskan strategi subsidi seperti tahun ini, tetapi kemungkinan boleh memfokuskan kepada subsidi bersasar supaya golongan yang amat memerlukannya tidak terkesan dengan kritikal ke atas kenaikan sara hidup.
“Selain itu, kerajaan boleh melaksanakan strategi jangka masa sederhana dan panjang dengan mengurangkan kebergantungan kepada barangan import dan memperkasakan pengeluaran barangan tempatan.
“Seterusnya, kerajaan juga perlu memastikan tiada berlaku ‘bottleneck’ atau kartel yang mengawal rantaian bekalan produk,” katanya di sini semalam.
Ahmed Razman berpendapat, jika kadar OPR kekal rendah pada 2.75 peratus, dikhuatiri pelabur asing akan pergi ke Amerika Syarikat (AS) untuk mendapatkan pulangan pelaburan yang lebih tinggi.
“Ini akan mengurangkan pelaburan asing ke atas bon kerajaan terutamanya dan boleh melemahkan ringgit,” ujarnya.
Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid pula berpendapat, kenaikan OPR adalah langkah Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengawal inflasi dan kenaikan diijangka sekali lagi pada Januari tahun depan.
“Kenaikan ini perlu kerana BNM perlu melihat pada kenaikan kadar faedah negara lain. Jika tidak aliran tunai akan mengalir keluar ke Amerika Syarikat (AS).
“Walau bagaimanapun, pihak bank boleh memainkan peranan untuk tidak menaikkan kadar faedah kepada peminjam sedia ada. Melihat pada keputusan kewangan mereka yang dilaporkan, saya yakin mereka mampu melakukannya,” ujarnya.
Baharom bagaimanapun menjangkakan kadar inflasi bulan ini lebih rendah antara 3.4 hingga 3.5 peratus berikutan kerajaan yang lebih stabil dan adanya kementerian khas menangani kos sara hidup.
Jumaat lalu, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mengumumkan IHP yang mengukur kadar inflasi di Malaysia kekal tinggi iaitu 4.0 peratus pada November dengan mata indeks berada pada 129.0 berbanding 124.0 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.
Bagaimana kadar berkenaan ternyata lebih rendah berbanding 4.7 peratus yang dicatat pada Ogos 2022. Kedudukan inflasi yang tinggi mampu mengurangkan nilai sebenar pendapatan diperoleh, lantas menjejaskan kuasa membeli orang awam.
Empat negeri yang mencatatkan inflasi melebihi paras nasional 4.0 peratus adalah Wilayah Persekutuan Putrajaya (7.9 peratus), Selangor (4.8 peratus), Sarawak (4.7 peratus) dan Johor (4.2 peratus). – UTUSAN










