PETALING JAYA: Northport (Malaysia) Bhd. (Northport), syarikat di bawah MMC Group menganjurkan Hari Keselamatan Northport 2022 untuk kakitangan dan pengguna pelabuhannya bertemakan “Demi Keluarga Anda, Utamakan Keselamatan” pada 2 Disember lalu.
Program tersebut dianjurkan dengan tujuan memberi penekanan akan kepentingan mengutamakan amalan kerja yang selamat dan sihat dalam kalangan kakitangan, demi orang tersayang.
Ketua Pegawai Eksekutif Northport, Datuk Azman Shah Mohd. Yusof berkata, sambutan Hari Keselamatan Northport yang diadakan secara tahunan tersebut kembali setelah dua tahun tidak dianjurkan akibat pandemik Covid-19.
Katanya, pelbagai aktiviti menarik diadakan untuk menggalakkan budaya kesihatan dan keselamatan di kalangan warga Northport.
“Program ini juga mencerminkan usaha berterusan kami untuk memupuk kesedaran akan kepentingan keselamatan dan kesihatan dalam kalangan kakitangan dan memberi peluang kepada mereka yang berprestasi cemerlang untuk berkongsi detik membanggakan bersama ahli keluarga,” katanya dalam kenyataan.
Program tersebut dimulakan dengan penyampaian anugerah Best Safety Performer, yang mana pengiktirafan telah diberikan kepada kakitangan yang cemerlang di atas komitmen serta contoh teladan mereka terhadap aspek keselamatan dan kesihatan.
Antara aktiviti yang dianjurkan adalah pemeriksaan kesihatan dan pameran oleh 16 agensi dan syarikat, termasuk daripada Jabatan Keselamatan & Kesihatan (DOSH), Agensi Antidadah
Kebangsaan Malaysia (AADK), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan sebagainya.
Azman Shah berkata, Northport telah memenangi beberapa anugerah dan pengiktirafan di peringkat tempatan dan antarabangsa untuk inisiatif kesihatan dan keselamatannya pada tahun ini.
Menurutnya, pada Mei yang lalu, Northport telah memenangi anugerah International Association of Ports and Harbors (IAPH) 2022 Sustainability Award, di bawah kategori Keselamatan, Kesihatan dan Sekuriti semasa Persidangan Pelabuhan Dunia IAPH 2022 yang diadakan di Vancouver, Kanada.
Bulan lalu pula, Northport menyapu bersih Anugerah Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara 2020/2021 dengan membawa pulang anugerah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO of the Year) untuk Sektor Swasta, Perkhidmatan Perniagaan dan Mentor-Mentee (Mentor).
“Semua anugerah dan pengiktirafan yang diterima telah memberikan kami motivasi tambahan untuk terus memberikan perkhidmatan yang cekap, selamat dan mampan kepada para pelanggan serta pihak berkepentingan.
“Pada masa yang sama, kami juga meningkatkan budaya keselamatan dan kesihatan ke tahap yang lebih tinggi dalam perjalanan kami untuk menjadi pelabuhan yang lebih selamat, lebih hijau, lebih pintar dan lebih baik,” ujarnya. – UTUSAN











