MSM lantik Mazatul ‘Aini sebagai CFO baharu

MSM lantik Mazatul ‘Aini sebagai CFO baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: MSM Malaysia Holdings Berhad (MSM) telah melantik Dr Mazatul ‘Aini Shahar Abdul Malek Shahar sebagai Ketua Pegawai Kewangan (CFO) baharu syarikat itu, menggantikan Ab. Aziz Ismail.

Ab. Aziz, 55, telah memegang jawatan tersebut sejak Jun 2019 selepas beliau berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Pegawai Kewangan selama sebulan mulai April 2019.

Sebelum pelantikan di MSM, Mazatul ‘Aini, 50, adalah Pengarah Bebas Bukan Eksekutif di 7-Eleven Malaysia Holdings Berhad dan TH Heavy Engineering Berhad serta ahli jawatankuasa audit bagi kedua-dua syarikat tersebut.

Menurut MSM, ketika ini beliau adalah Pengarah Bebas Bukan Eksekutif IJN Holdings Sdn. Bhd..

“Mazatul ‘Aini mempunyai 26 tahun pengalaman praktikal dalam perbankan dan kewangan Islam, pengumpulan dana, pengurusan transformasi, kewangan korporat dan kerja-kerja nasihat.

“Beliau juga pernah bekerja di Aseambankers Malaysia Berhad, Bank Pembangunan Malaysia Berhad dan Bank Muamalat Malaysia Berhad.

“Beliau memulakan kerjayanya di Arthur Anderson & Co pada 1995 selepas menamatkan pengajian di Universiti Nottingham, United Kingdom,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

Mazatul ‘Aini sebelum ini merupakan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Proton Holdings Berhad sebelum penggabungan pembuat kereta nasional itu dengan Zhejiang Geely Group.

Beliau juga pernah menjadi Ketua Pegawai Kewangan Nationwide Express Courier Services Berhad.

Tambah MSM, Mazatul ‘Aini turut pernah menjadi perunding kewangan kepada Prokhas Sdn. Bhd. dan Institut Akauntan Malaysia di mana beliau adalah editor buku teks Perakaunan Kewangan Islam yang pertama.

“Mazatul ‘Aini ialah felo Institut Akauntan Bertauliah di England and Wales dan memperoleh PhD dalam Ekonomi Politik & Perbankan Islam daripada Universiti London,” kata Kumpulan itu.

MSM menikmati penguasaan 60 peratus bahagian pasaran perniagaan penapisan gula tempatan, tetapi syarikat itu telah mengalami kerugian dalam tiga daripada lima tahun kewangan yang lalu.

Pada 21 November, MSM melaporkan kerugian bersih sebanyak RM72.8 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2022, menjadikannya suku kerugian keempat berturut-turut.

Bagi tempoh sembilan bulan terkumpul, MSM mencatatkan kerugian bersih RM134.55 juta atas hasil RM1.89 bilion.

Pada akhir September, syarikat mempunyai deposit dengan bank berjumlah RM293.66 juta dan tunai serta baki bank sebanyak RM15.69 juta.

Pinjaman jangka pendek MSM berjumlah RM617.63 juta dan komitmen hutang jangka panjangnya ditambat pada RM316.28 juta. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN