MR D.I.Y. dinobat sebagai Pendatang Baharu Terbaik dalam The Edge ESG Awards - Utusan Malaysia

MR D.I.Y. dinobat sebagai Pendatang Baharu Terbaik dalam The Edge ESG Awards

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Peruncit perkakas rumah negara, Kumpulan MR D.I.Y. (M) Berhad (MR D.I.Y) dinobatkan sebagai Pendatang Baharu Terbaik dalam Kategori Ekuiti di The Edge ESG Awards 2022 yang julung kali diadakan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MR D.I.Y., Adrian Ong berkata, amalan kelestarian telah menjadi teras operasi kumpulan sejak syarikat ditubuhkan pada 2005. 

Ujarnya, sebagai peruncit perkakas rumah terkemuka negara, pihaknya menjadikan ia sebagai satu tanggungjawab untuk menetapkan penanda aras dalam prinsip dan amalan kelestarian dalam semua aspek operasi syarikat. 

“Anugerah ini mengiktiraf komitmen syarikat untuk mengembangkan perniagaan secara lestari dan mencipta nilai yang boleh dikongsi bersama untuk semua pihak berkepentingan. 

“Kemampanan adalah sebuah perjalanan, dengan penglibatan luar dan asas ketelusan untuk mencapai kemajuan yang ketara. Industri peruncitan memerlukan amalan-amalan kelestarian ini dan diterajui secara usaha bersama, kerana kami terhubung melalui rangkaian yang saling berkait rapat dengan pelbagai pihak.

“Kejayaan kami berpunca daripada hubungan dan kerjasama baik yang saling menguntungkan, dan diterapkan ke seluruh rantaian nilai kami bersama para pelanggan, vendor, pengawal atur dan kesemua komuniti di mana kami beroperasi,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, dalam pada kumpulan meneruskan perjalanannya ke arah integrasi kelestarian, ia juga menyedari keperluan untuk memastikan model perniagaannya kekal utuh dalam mengharungi risiko-risiko luaran yang berkait dengan kelestarian.

“Justeru, kumpulan komited untuk memastikan akses kepada produk-produk yang “Always Low Prices” dan berusaha mengembangkan rangkaian produk-produk mesra alam yang ditawarkan di cawangan-cawangannya dengan sasaran untuk meningkatkan jualan produk-produk mesra alam sebanyak 10 peratus menjelang 2030,” ujarnya.

The Edge ESG Awards bertujuan untuk mengiktiraf syarikat-syarikat senarai awam (PLC) dan firma pengurusan aset yang dianggap sebagai peneraju dalam standard alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) di Malaysia dengan dua kategori iaitu Ekuiti dan Dana.

Di bawah kategori Ekuiti yang dianugerahkan kepada peruncit tersebut, The Edge bekerjasama dengan Bursa Malaysia dan FTSE Russell untuk mengiktiraf PLC yang mempamerkan prestasi terbaik menggunakan metodologi FTSE. 

Sementara itu, untuk kategori Dana, The Edge bekerjasama dengan Morningstar, sebuah firma perkhidmatan kewangan dari Amerika Syarikat untuk mengiktiraf firma-firma pengurusan aset menggunakan metodologinya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.