Mitsubishi Triton Athlete - Trak pilihan ramai

Mitsubishi Triton Athlete – Trak pilihan ramai

ANTARA kekuatan Mitsubishi Triton Athlete membuatkan pemandunya merasakan tiada perbezaan ketara memandu kereta sedan atau pacuan empat roda. – UTUSAN/ANUAR NORICK SABARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Saingan dalam pasaran trak pacuan empat roda sebenarnya amatlah sengit. Selain daripada kekuatan jenama masing-ma­sing, rekabentuk kenderaan-kenderaan seumpama ini telah banyak berubah kepada konsep ‘kebersamaan’ atau memberikan gambaran bahawa trak zaman ini sebenarnya ‘sama de­ngan kenderaan sedan’ anda.

Ia dapat dilihat daripada rekaan dalam kabin trak yang kini lebih menyerupai ruang dalam kabin kereta sedan biasa. Papan pemuka, tombol gear, sistem hiburan/pandu arah, malah stereng pemandu juga dihasilkan seperti stereng kereta.

Inilah antara kekuatan MITSUBISHI TRITON ATHLETE, membuat pemandunya merasakan bahawa tiada perbezaan ketara memandu kereta sedan atau trak pacuan empat roda ini.

PENAMPILAN

Agak sukar sekiranya saya ingin menyatakan satu kelainan yang terdapat pada Triton ini berbanding dengan trak pacuan empat roda jenama lain yang berada di pasaran. Rekabentuk luarannya, hampir sama, dimensi, aksesori malah warnanya pun hampir sama dengan jenama trak yang lain. Begitupun, rekaan grafik yang menampilkan rekaan lebih ‘muda dan ceria’ terserlah pada hampir separuh daripada badan trak Triton ini yang dengan jelas terpampang jenama Triton Athlete.

AKSESORI yang didatangkan khas.

Walau bagaimanapun, Mitsubishi adalah satu nama yang tidak asing lagi dalam pasaran kenderaan tempatan, dan atas kekuatan inilah, mereka yakin mampu menarik pengguna-pengguna baharu. Mitsubishi ‘meminjam’kan rekaan dashboard atau papan pemuka yang berwarna hitam keseluruhannya, sistem paddle shifter atau tuas anjakan pertukaran gear seperti yang terdapat pada stereng kereta-kereta sports Mitsubishi, sistem hiburan dan informasi yang menampilkan skrin sesentuh serta sistem kamera serta sensor visual.

Memandu Triton Athlete tidak lagi menjadi asing atau menyusahkan bagi pemandu-pemandu baharu. Menggunakan balutan kulit pada kerusi-kerusi hadapannya yang berkonsepkan semi bucket, serta tempat duduk belakang juga mempunyai balutan kulit yang selesa dan empuk. Sayang sekali Mitsubishi Malaysia tidak mencontohi model pasaran Thailand iaitu penggunaan kulit berwarna jing­ga pada rekaan tempat duduk mereka. Mungkin menjangkakan selera rakyat Malaysia tidak menyukai gabungan berwarna-warni bagi rekaan dalaman kabin, namun saya rasakan lebih baik diadakan opsyen tersebut bagi mereka yang lebih ‘berani’ de­ngan penampilan yang lebih ceria, muda dan sporty.

Ruang kabin yang luas, sama ada untuk pemandu dan penumpang di tempat duduk hadapan dan belakang, menjadikan Triton ini seolah-olah memang dihasilkan untuk ke­gunaan keluarga. Ruang untuk mengecas alat peranti juga disediakan untuk penumpang belakang serta corong aircond juga boleh diakses oleh penum­pang belakang bagi kemudahan mereka.

RUANG simpanan di dalam kabin memberi lebih opsyen kepada penumpang untuk menyimpan barangan peribadi.

PEMANDUAN

Seperti yang diutarakan tadi, pemanduan Mitsubishi Triton ternyata seperti memandu kereta-kereta sedan yang sedia ada di pasaran. Tempat duduk pemandunya, boleh dilaras kedepan atau kebelakang, tinggi atau rendah, menegak atau lebih menyandar dengan pelarasan secara elektronik. Maka dari segi keselesaan pemandu telah berjaya dicapai dengan pela­rasan yang sangat mudah.

Prestasi enjinnya pula menampilkan kuasa jentera MIVEC TURBO yang begitu sinonim dengan mana-mana kenderaan Mitsubishi. Walaupun menggunakan bahan api diesel, Mitsubishi mendakwa ia adalah enjin alu­minium pertama dalam rekaan trak pikap. Gabungan dengan teknologi VVT (variable valve ti­ming), ia membolehkan pemasaan injap yang optimum untuk julat kuasa tahap yang tinggi atau pun ketika tahap rendah.

Sesaran enjinnya adalah 2,422cc serta menghasilkan 181PS pada kadar RPM 3,500 dan tork maksimum 430Nm pada kadar RPM 2,500. Disokong de­ngan sistem transmisi enam kelajuan otomatik lengkap dengan sistem sport mode serta kebolehan untuk drive train dua atau empat roda yang boleh dipilih dengan hanya memulas tombol bagi menyesuaikan pemanduan anda ketika atau jalan raya biasa atau ketika off road.

Sistem keselamatan pikap ini juga membolehkan pemandunya `diberitahu’ tentang halangan-halangan di hadapan kenderaan anda secara audio dan paparan pada skrin TFT hiburan dan informasi. Aplikasi brek secara automatik akan berlaku untuk mengelakkan pelanggaran sekiranya sensor tersebut merasakan halangan tersebut terlalu hampir. Walau bagaimanapun, ketika memandu pada laluan-laluan offroad terutama apabila terdapat kawasan semak atau pokok-pokok kecil yang terlalu dekat dengan Triton ini, bunyi-bunyian amaran saya rasakan agak keterlaluan. Mungkin saya mempunyai opsyen untuk mematikan amaran-amaran tersebut, namun dalam suasana pemanduan ujian saya tersebut saya hanya membiarkannya.

DASHBOARD yang kemas memberi keselesaan kepada pemandu dan penumpang.

KESIMPULAN

Mitsubishi Triton Athlete adalah satu model penambahbaikan pada model atas nama serupa yang dilancarkan pada 2018. Ternyata, peningkatan dari segi sistem keselamatan seperti Forward Collision Mitigation (Pengelakan Perlanggaran hadapan), Blind Spot Warning (amaran sudut terlindung), Lane Change Assist (bantuan pertukaran lorong pemanduan), Auto High Beam (suluhan lampu secara automatik), 7 beg udara (hadapan, tepi, bahagian kaki/lutut pemandu), serta beberapa sistem amaran keselamatan yang lain.

Pemanduannya juga turut memberi lebih kemudahan dan saling tak ubah pemanduan sebuah kereta sedan terkini lengkap dengan tuas anjakan gear di stereng. Ini saya melihatkan sebagai satu langkah untuk menarik pembeli muda, terutamanya apabila dilihatkan aksesori yang telah tersedia dalam kabin dalaman serta skim warna Jingga yang agak terlalu menyerlah, lengkap dengan rekaan pelekat grafik.

Harga jualannya yang mencecah RM146,600 dilihat sebagai tanda harga yang hampir sama dengan mana-mana kenderaan yang sama kelas dengannya tetapi membawa tradisi kereta-kereta MITSUBISHI yang begitu sinonim dengan prestasi dan gayanya yang tersendiri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN