Mattel sasar keluarkan 500 juta Hot Wheels menjelang 2025 - Utusan Malaysia

Mattel sasar keluarkan 500 juta Hot Wheels menjelang 2025

SOO Teck Heng (tengah) bersama tetamu yang hadir pada majlis sambutan ulangtahun ke-40 Mattel Malaysia di Perai, Butterworth, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Syarikat pengeluar alat permainan terkemuka, Mattel Inc. menerusi pemegang subsidiarinya, Mattel Malaysia Sdn. Bhd. (MMSB) bakal mengembangkan operasi mereka dengan perluasan loji atau kilang di Perai yang dijangka siap menjelang awal tahun depan.

Naib Presiden Kanan Bahagian Perkilangan Asia syarikat itu, Soo Teck Heng berkata, perluasan itu dijangka membantu meningkatkan penghasilan produk utama mereka iaitu kereta mainan berjenama Hot Wheels kepada 20 peratus di peringkat global menjelang 2025.

Beliau berkata, ini bermakna, jumlah penghasilan kereta mainan itu di peringkat global akan mencecah sehingga setengah bilion unit setahun dalam tempoh berkenaan.

“Ketika ini, kilang Mattel di Perai secara puratanya mampu menghasilkan sehingga sembilan juta unit Hot Wheels seminggu sehingga menjadikan ia antara alat mainan terlaris di pasaran sepanjang tahun lepas,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas majlis sambutan ulangtahun ke-40 penubuhan syarikat itu di Malaysia yang turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Norazman Ayob.

Hadir sama Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow; Presiden merangkap Ketua Pegawai Komersial Mattel Inc., Steve Totzke; Pengurus Besar MMSB, Ching Chiau Lee; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton Holdings Berhad (Proton), Roslan Abdullah serta beberapa kenamaan lain.

Selain meningkatkan pengeluaran Hot Wheels di peringkat global, perluasan operasi Mattel yang dijangka dibangunkan di kawasan seluas lebih lima hektar itu turut akan membuka lebih daripada 400 peluang pekerjaan terutamanya dalam bidang pengoperasian syarikat itu di Pulau Pinang.

Pada masa yang sama, peningkatan jumlah tenaga kerja mahir terutamanya melibatkan jurutera tempatan dijangka turut berlaku seiring dengan pertambahan fasiliti serta kemudahan di kilang berkenaan.

Dalam perkembangan berasingan, Totzke turut mengumumkan kerjasama dengan syarikat kereta nasional, Proton apabila ‘membangunkan semula’ model generasi pertama kenderaan itu yang dikeluarkan pada 1985 dalam bentuk Hot Wheels berukuran 1:64 dari model kenderaan saiz sebenar.

“Model prototaip Proton Saga yang boleh didapati dalam tiga warna berbeza iaitu merah, putih dan kelabu itu akan dipasarkan ke peringkat global selewat-lewatnya hujung tahun depan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN