LHDN tutup sementara beberapa kaunter bayaran

LHDN tutup sementara beberapa kaunter bayaran untuk proses naik taraf

cukai
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) akan menutup beberapa saluran bayaran cukai untuk sementara waktu berikutan proses menaik taraf sistem dalaman yang dijangka selesai sepenuhnya pada 1 Januari 2023.

Menurut kenyataan LHDN, langkah tersebut adalah sebagai usaha meningkatkan perkhidmatan berkualiti kepada pelanggan.

Katanya, bagi kelancaran proses tersebut, LHDN telah menetapkan tarikh akhir penerimaan bayaran cukai bagi saluran bayaran yang terlibat dengan penutupan tersebut.

“Tarikh akhir bagi bayaran di kaunter pusat bayaran LHDN di Semenanjung, Sabah dan Sarawak adalah pada 30 Disember ini, mengikut masa operasi kaunter semasa.

“Bayaran akhir bagi terminal kad kredit atau kad debit di kaunter pusat bayaran LHDN di Semenanjung, Sabah dan Sarawak juga pada tarikh dan waktu yang sama,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

LHDN berkata, tarikh akhir bagi bayaran melalui FPX-ByrHASiL dan sistem e-Pindahan Telegrafik (e-TT)  pula pada 28 Disember dan ditutup bermula 29 Disember pada pukul 12.01 pagi.

Sementara itu, LHDN memberitahu, bayaran di bank komersial yang dilantik oleh LHDN dan bayaran di kaunter Pos Malaysia pula tidak terlibat dan akan beroperasi seperti biasa.

“Perkhidmatan FPX-ByrHASiL yang ditutup sementara akan mula dibuka semula pada 1 Januari 2023, manakala bayaran menggunakan nombor akaun virtual (VA) melalui janaan di sistem e-TT hanya boleh dibuat bermula 3 Januari 2023 pukul 8 pagi,” ujarnya.

Tambahnya, orang ramai boleh merujuk portal rasmi LHDN untuk maklumat lanjut berkenaan perkhidmatan bayaran yang disediakan dan pembayar cukai. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN