KWSP catat pendapatan pelaburan kasar RM39.31b bagi sembilan bulan pertama 2022 - Utusan Malaysia

KWSP catat pendapatan pelaburan kasar RM39.31b bagi sembilan bulan pertama 2022

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pendapatan pelaburan kasar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi sembilan bulan berakhir 30 September 2022 susut sebanyak 18 peratusatau RM8.71 bilion kepada RM39.31 bilion berbanding RM48.02 bilion dicatatkan dalam tempoh sama tahun lalu.

Jumlah pendapatan pelaburan kasar bagi suku ketiga berakhir 30 September 2022 pula berjumlah RM12.32 bilion, menurun sebanyak RM1.65 bilion atau 12 peratus berbanding RM13.97 bilion pada suku ketiga 2021. 

Bagaimanapun, ia juga mewakili peningkatan 11 peratus berbanding RM11.14 bilion yang direkodkan pada suku kedua 2022.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, berikutan keadaan pasaran pelaburan ekuiti dan pendapatan tetap yang stabil, KWSP telah mencatatkan prestasi suku ketiga yang lebih baik.

“Terdapat kebimbangan kadar faedah yang lebih tinggi akan mendorong kepada kemelesetan global, ditambah dengan risiko geopolitik berterusan dan kenaikan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat. 

“Namun, di sebalik cabaran ini, pendekatan pelaburan KWSP yang berdisiplin, berpandukan Alokasi Aset Strategik yang mantap dan pengurusan portfolio yang aktif, membantu mengurangkan impak dan membolehkan KWSP memberikan prestasi yang stabil didorong oleh lonjakan kukuh dalam pasaran domestik,” katanya dalam kenyataan.

Dalam suku tahun yang dikaji, ekuiti merangkumi 45 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan kasar KWSP sebanyak RM5.49 bilion, manakala instrumen pendapatan tetap yang terdiri daripada Sekuriti Kerajaan Malaysia dan Bon Sama Taraf serta pinjaman dan bon menyumbang 39 peratus atau RM4.77 bilion.

Hartanah dan infrastruktur mencatatkan pendapatan RM1.67 bilion, manakala pendapatan daripada instrumen pasaran wang menjana RM0.39 bilion, sejajar dengan jangkaan pulangan yang ditetapkan untuk kelas aset tersebut.

Pada suku ketiga 2022 juga, pelaburan luar negara KWSP yang membentuk 36 peratus daripada jumlah aset pelaburan KWSP menjana pendapatan RM5.28 bilion, mewakili 43 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan kasar yang direkodkan.

Sebanyak RM1.42 bilion daripada RM12.32 bilion dalam pendapatan pelaburan kasar, dijana untuk Simpanan Syariah dan RM10.90 bilion untuk Simpanan Konvensional. 

Dengan mengambil kira kesan RM36 juta yang telah diturunkan nilai untuk ekuiti tersenarai pada suku tersebut, jumlah pendapatan pelaburan KWSP pada suku dikaji ialah RM12.28 bilion, naik 37 peratus daripada RM8.98 bilion yang dicatatkan pada suku kedua 2022.

Penurunan kos ialah polisi dalaman yang diterima pakai oleh KWSP ke atas pelaburan ekuiti tersenarai sebagai langkah berhemat untuk memastikan kesihatan portfolionya.

Selain itu, sehingga September 2022, aset di bawah pengurusan KWSP ialah RM961.01 bilion. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya