Kos sara hidup dijangka meningkat

Kos sara hidup dijangka meningkat

HARGA barangan makanan terutama produk import dijangka terus meningkat berikutan nilai ringgit yang lebih rendah berbanding dolar Amerika Syarikat. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia dijangka mengalami tempias eko­­nomi global yang bergerak perlahan pada 2023 sekali gus menyebabkan kenaikan kos sara hidup apabila negara terpaksa berbe­lanja lebih untuk mengimport bara­ngan makanan yang kini mencecah RM65 bilion setahun.

Perkara itu berlaku akibat dua faktor iaitu barangan ber­kenaan dibeli dari negara menghadapi kemelesetan dan mereka terpaksa menaikkan harga di samping kelemahan ringgit.

Situasi tersebut boleh menye­babkan kadar peningkatan makanan terus kekal tinggi melebihi lima peratus sehingga tahun depan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis ekonomi da­ripada Sekolah Siswazah Per­niagaan Universiti Tun Abdul Razak, Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai menjelaskan, Malaysia sebagai sebuah negara mengamalkan dasar ekonomi terbuka terdedah kepada risiko ekonomi global sekali gus memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan import bahan makanan daripada luar.

Jelasnya, pemerhati politik sebelum ini menjangkakan kemerosotan ekonomi sepatutnya berlaku pada 2020 sebaliknya tahun depan dengan Bank Dunia menurunkan unjuran pertumbuhan ekonomi global da­ripada 3.0 peratus kepada 1.9 peratus iaitu menghampiri paras kemelesetan global.

“Sepatutnya pertumbuhan ekonomi Malaysia meningkat dan terus meningkat, tetapi jangkaan ini (kemelesetan eko­nomi global) menyebabkan terjadi sebaliknya apatah lagi dasar ekonomi kita terbuka terdedah kepada risiko sama ada kepada sektor eksport dan import.

“Justeru, kerajaan perlu memfokuskan keselamatan ma­kanan yang bertujuan mengurangkan kebergantungan import makanan yang akhirnya dapat mengurangkan perbe­lan­jaan negara untuk membeli bara­ngan dari luar negara, di samping mengelakkan kenaikan perbelanjaan rakyat. Hal ini ke­rana, kita terlalu berbelanja untuk import makanan,” katanya.

Presiden Bank Dunia, David Malpass sebelum ini membe­ritahu, ekonomi global dalam keadaan ‘bahaya’ untuk menghampiri kemelesetan selepas data inflasi menunjukkan pe­ningkatan, kadar faedah juga terus meningkat dan bebanan hutang melonjak di negara sedang membangun.

Beliau berkata, kelembapan ekonomi dunia benar-benar menjejaskan negara-negara sedang membangun, terutamanya golongan miskin di negara ter­babit, sekali gus memberikan impak yang negatif.

Justeru Barjoyai mengingatkan rakyat untuk mempunyai tabungan wang kecemasan sebagai persediaan akan datang kerana ketidaktentuan ekonomi tahun depan yang dianggap terlalu mencabar bukan sahaja kepada Malaysia tetapi juga negara lain.

Beliau meminta rakyat Malaysia untuk berbelanja secara berhemah dengan lebihan wang boleh disimpan ke dalam tabu­ngan masing-masing.

“Kita tidak tahu keadaan sebenar ekonomi negara pada tahun depan, adakah memberikan kesan kepada syarikat atau tidak? Oleh itu elakkan melancong ke luar negara dan makan di kedai, kerana tindakan ini menyebabkan perbelanjaan dan kadar inflasi meningkat yang berpunca daripada kekerapan rakyat berbelanja di luar.

“Tetapi tiada masalah membeli kediaman, kerana harga rumah dan kadar faedah masih rendah. Jadi, tiada masalah untuk rakyat beli rumah pada tahun depan,” katanya.

Bagaimanapun, Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berpandangan, ekonomi Malaysia masih kukuh walaupun Bank Dunia mengunjurkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) jatuh sehingga 4.3 peratus berbanding 6.5 peratus pada tahun ini.

Beliau melihat tiga faktor mendorong pertumbuhan ekonomi iaitu kenaikan harga minyak global, pembukaan semula sektor ekonomi China dan ratifikasi Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) yang dilihat memberi peluang besar kepada produk tempatan untuk memasuki negara-negara yang memeterai perjanjian berkenaan.

“Sebenarnya apa dijangka Bank Dunia bukan menjurus kepada kemelesetan ekonomi, tetapi pertumbuhan ekonomi semakin perlahan apabila mengunjurkan penurunan pertumbuhan global daripada 3.2 peratus kepada 2.7 peratus.

“Namun, ramalan itu dibuat mengikut benua tetapi yang di rantau Asia Pasifik, pihak berkenaan menjangkakan ada potensi pertumbuhan tinggi di samping kesan tiga faktor berkenaan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan unjuran positif itu boleh terjadi sebaliknya dengan mengambil faktor dalam dan luaran khususnya ketidaktentuan geopolitik antarabangsa.

“Mungkin negara-negara luar berhati-hati untuk mengimport barangan mereka dari Malaysia, sekali gus menjejaskan pertumbuhan sektor eksport kita,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN