Koperasi Sahabat, KAB Gold perkenal akaun emas digital 

Koperasi Sahabat, KAB Gold perkenal akaun emas digital 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Koperasi Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (Koop Sahabat Berhad) dan KAB Goldynamics Sdn. Bhd. (KAB Gold) menandatangai memorandum persefahaman untuk memperkenalkan akaun patuh syariah, i-Gold Personal Account (i-GPA).

Ia bertujuan untuk membantu serta mengukuhkan kewangan masyarakat ketika keadaan ekonomi yang tidak menentu.

Pengerusi Lembaga Koop Sahabat, Mohd. Najib Mohd. Noor berkata, ia merupakan langkah proaktif yang pertama dilaksanakan dalam bentuk faedah yang ditawarkan kepada anggota Koop Sahabat seramai 485,000 orang terdiri daripada usahawan wanita B40.

“Buat masa ini, ia terbuka untuk anggota kami sahaja kerana berdasarkan pasaran tawanan yang kami ada. Jadi kami cuba untuk ‘capitalize’ anggota kami terlebih dahulu

“Namun, ia juga akan dibuka kepada orang awam yang turut berminat untuk membeli akaun di masa depan,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Ujarnya, masyarakat kini telah mempunyai kesedaran terhadap pelaburan emas digital di mana orang ramai kini telah beralih kepada simpanan emas kerana nilainya yang semakin meningkat sejak beberapa tahun ini.

Justeru, Koop Sahabat menyeru kepada semua anggotanya untuk tidak melepaskan peluang ini supaya manfaat tersebut membantu mengurangkan beban kewangan yang dihadapi.

Sementara itu, Pengerusi KAB Gold, Tan Sri Dr. Mohd. Daud Bakar berkata, emas walaupun kelihatan mudah tetapi penjagaannya agak sukar berbanding wang tunai yang disimpan di bank kerana ia lebih selamat.

“Oleh itu, kami telah melaksanakan konsep digital ini di mana para pelabur ahli koperasi boleh menyimpan dengan kadar paling rendah.

“Ia juga memudahcara pelabur untuk melihat data kami dan jika mereka perlu gunakan wang ia boleh dicairkan di pasaran dengan mudah.

“Kami akan sediakan maklumat harga kos dan keuntungan, jika ada. Jika tiada, kami nasihatkan untuk tunggu dan jangan carikan ia lagi kerana emas adalah pelaburan jangka panjang.

“Kami yakin emas boleh disimpan dengan selamat kerana ia takkan hilang dan masih akan mempunyai nilai di masa depan,” katanya.

i-GPA menawarkan modal serendah RM10 bagi menggalakkan semua peringkat masyarakat membuka akaun pelaburan emas digital mereka sendiri.

KAB Gold merupakan rakan kerjasama strategik dalam menyediakan platform serta khidmat perundingan kepada Koop Sahabat dalam memastikan pelanggan dapat membuat pelaburan dengan mudah dan selamat.

Menjelang 2023, Koop Sahabat optimis masyarakat akan menjadikan pelaburan emas digital itu sebagai satu usaha berterusan kerana ia mampu memberi pulangan jangka panjang kepada pelabur.

Koop Sahabat adalah sebuah koperasi perkhidmatan yang ditubuhkan pada 30 Ogos 2012 di bawah Akta Koperasi 1993.

Perniagaan Koop Sahabat kini meliputi perniagaan dalam perkhidmatan kewangan seperti Ar Rahnu, pembangunan hartanah, pelaburan korporat, pelaburan strategik serta pelaburan dalam ekuiti awam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN