PETALING JAYA: Keadaan kewangan domestik menjadi reda berikutan sentimen pelabur yang bertambah baik, katanya Bank Negara Malaysia (BNM).
Bank pusat berkata, keadaan kewangan global menjadi reda susulan jangkaan kadar dasar monetari akan menjadi ketat pada kadar yang lebih perlahan apabila inflasi terus menunjukkan tanda akan mencapai paras tertinggi, terutamanya di Amerika Syarikat (AS)
Katanya, sekatan berhubung dengan Covid-19 di China yang semakin longgar turut menyokong sentimen risiko pelabur secara keseluruhan.
“Kesannya, keadaan kewangan domestik menjadi reda, dengan kadar hasil Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) 10 tahun berkurang sebanyak 26.0 mata asas (purata serantau: turun 44.4 mata asas) dan FBM KLCI meningkat sebanyak 1.9 peratus (purata serantau: naik 5.2 peratus).
“Prestasi pasaran kewangan juga disokong oleh keadaan politik yang semakin stabil berikutan pembentukan kerajaan baharu.
“Ringgit menambah nilai sebanyak 6.3 peratus berbanding dengan dolar AS, sejajar dengan penambahan nilai secara meluas dalam mata wang utama dan serantau (purata: naik 4.5 peratus) berbanding dengan dolar AS.,” katanya dalam Sorotan Bulanan – November 2022 di sini hari ini.
BNM berkata, sistem perbankan terus mengekalkan Nisbah Perlindungan Mudah Tunai yang kukuh.
Menurutnya, bank-bank menguruskan penampan secara proaktif bagi menangani ketidaktentuan bermusim mudah tunai sistem perbankan pada akhir tahun dan terus menyokong pengantaraan.
“Nisbah pinjaman kepada dana agregat sebahagian besarnya kekal stabil pada 82.3 peratus berbanding 82 peratus pada Oktober.
“Sementara itu, kualiti aset sistem perbankan kekal kukuh dengan nisbah pinjaman terjejas kasar dan bersih keseluruhan kekal tidak berubah masing-masing pada 1.8 peratus (Oktober: 1.8 peratus) dan 1.1 peratus (Oktober: 1.1 peratus).
“Nisbah perlindungan kerugian pinjaman (termasuk rizab kawal selia) terus mencatatkan tahap berhemat sebanyak 116.5 peratus daripada pinjaman terjejas, dengan jumlah peruntukan mencakupi 1.8 peratus daripada jumlah pinjaman,” ujarnya.
Sementara itu, bank pusat berkata, pembiayaan bersih menjadi sederhana apabila bayaran balik pinjaman mengatasi pengeluaran pinjaman.
Jelasnya, pembiayaan bersih meningkat 4.7 peratus pada akhir November (Oktober: 5.7 peratus), mencerminkan pertumbuhan yang lebih rendah dalam pinjaman terkumpul (5.5 peratus; Oktober: 6.5 peratus) dan bon korporat (2.6 peratus; Oktober: 3.6 peratus)
“Pertumbuhan pinjaman isi rumah menjadi sederhana kepada 6.0 peratus (Oktober: 6.3 peratus) apabila pertumbuhan bayaran balik pinjaman mengatasi pertumbuhan pengeluaran pinjaman merentas tujuan pinjaman utama.
“Pertumbuhan pinjaman perniagaan terkumpul menjadi sederhana kepada 3.4 peratus (Oktober: 5.2 peratus), disebabkan terutamanya oleh pembayaran balik dalam kalangan syarikat besar.
“Pengeluaran pinjaman terus mencatatkan pertumbuhan dua angka (13.7 peratus; Oktober: 13.4 peratus), meskipun pertumbuhan agak sederhana dalam sektor perkilangan pengguna dan harta tanah,” katanya. – UTUSAN










