Kerajaan digesa keluar daripada CPTPP - Utusan Malaysia

Kerajaan digesa keluar daripada CPTPP

RATIFIKASI perjanjian CPTPP dikatakan hanya beri lebih keistimewaan kepada syarikat asing untuk bertapak di negara ini berbanding peluasan perniagaan syarikat tempatan. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pertubuhan bukan kerajaan, Gabungan Kedaulatan Negara menggesa kerajaan menarik diri daripada Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) dengan segera.

Gabungan itu memaklumkan, kerajaan boleh menarik diri daripada CPTPP pada bila-bila masa dengan memberi notis enam bulan.

“Adalah dalam hak di sisi undang-undang kerajaan baharu untuk melakukan perkara yang betul iaitu, untuk menarik balik ratifikasi dan menilai semula implikasi CPTPP berdasarkan keadaan semasa dan antarabangsa.

“Oleh itu, kami mengulangi gesaan kami kepada kerajaan untuk menarik diri daripada CPTPP dan menjalankan penilaian awam yang benar-benar menyeluruh,” katanya.

Sementara itu, Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Abdul Halim Husin dalam kenyataan media sama berkata, CPTPP yang telah diratifikasi dilihat lebih menyasarkan akses pasaran untuk syarikat asing ke dalam perolehan kerajaan Malaysia dan menyekat perusahaan milik kerajaan, selain meletakkan syarat pada kawalan modal dalam situasi krisis kewangan.

Ujarnya, keadaan ini sangat mengganggu kedaulatan negara dan pembuat dasar mengenai isu bukan perdagangan, termasuk dalam pelaburan, perolehan kerajaan, Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan tindakan afirmatif bagi Bumiputera.

“Pembaharuan sememangnya diperlukan dalam banyak dasar, institusi dan amalan negara dan kami akan menyokong komitmen kerajaan perpaduan untuk pembaharuan dan membina semula ekonomi negara.

“Bagaimanapun, instrumen yang mengikat secara sah seperti CPTPP yang bertujuan untuk meliberalisasikan ekonomi negara dan meningkatkan hak korporat asing seperti yang didakwa sesetengah pihak dilihat tidak mampu memenuhi matlamat tersebut,” katanya.

Selain itu, beliau menekankan, tidak menjadi sebahagian daripada negara yang meratifikasi CPTPP bukan bermakna ia akan memudaratkan ekonomi atau Malaysia berundur daripada pasaran global.

“Ini bermakna hubungan ekonomi semasa Malaysia dengan negara lain melalui pelbagai perjanjian Pertubuhan Perdagangan Dunia dan pelbagai perjanjian perdagangan dan pelaburan dua hala dan serantau terus terpakai. 

“Bahagian pasaran eksport dan pelaburan asing ke Malaysia sehingga kini adalah hasil daripada pelbagai dasar dan insentif yang tiada kaitan dengan perjanjian CPTPP,” ujarnya.

Jelasnya, CPTPP akan menghalang Malaysia daripada mempunyai kebebasan untuk mengubah dan membalikkan haluan apabila sesuatu dasar itu salah atau memerlukan pengukuhan, kepada kedudukan di mana perubahan yang baik untuk negara tetapi memberi kesan kepada keuntungan pelabur asing boleh mencetuskan tuntutan pampasan yang besar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya