Kadar pengangguran turun ke paras terendah sejak pandemik - Utusan Malaysia

Kadar pengangguran turun ke paras terendah sejak pandemik

KADAR pengangguran di Malaysia kini turun kepada 3.4 peratus. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Prestasi tenaga buruh terus optimis apabila kadar pengangguran Oktober menurun ke paras terendah sejak pandemik Covid-19 kepada 602,000 orang, sekali gus mencerminkan asas ekonomi negara yang stabil, hasil daripada aktiviti ekonomi dan sosial yang berterusan.

Jumlah itu mencatatkan penurunan sebanyak 0.5 peratus berbanding 605,000 penganggur yang direkodkan pada September lalu.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, ia turut ditambah dengan sokongan polisi yang berterusan bagi mengatasi kesan peningkatan kos sara hidup dan mengurangkan risiko negatif berkaitan pergolakan geopolitik yang berlarutan seterusnya mengukuhkan kedudukan kewangan luar.

Ujarnya, pelancongan domestik dan antarabangsa juga dirangsang oleh peningkatan ketibaan pelancong di kebanyakan negara, termasuk Malaysia.

“Sektor ekonomi lain dalam negara turut mengalami momentum yang menggalakkan hasil daripada situasi ekonomi semasa. Oleh itu, lebih banyak tenaga buruh diperlukan dalam pasaran bagi menyokong keseluruhan aktiviti perniagaan yang menggalakkan.

“Justeru, pasaran buruh bertambah baik pada Oktober 2022, dengan lebih ramai penduduk bekerja dan penganggur yang semakin berkurangan,” katanya dalam siaran Statistik Tenaga Buruh Malaysia pada Oktober 2022. 

Bilangan tenaga buruh terus meningkat pada Oktober 2022, dengan peningkatan bulan ke bulan sebanyak 0.2 peratus kepada 16.68 juta berbanding 16.66 juta pada bulan sebelumnya, manakala kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) kekal pada kadar 69.7 peratus.

Peningkatan dalam bilangan penduduk bekerja berterusan pada bulan dikaji dengan peningkatan bulan ke bulan sebanyak 0.2 peratus kepada 16.08 juta orang berbanding 16.05 juta orang pada September 2022.

Bagaimanapun, kadar pengangguran pada Oktober 2022 kekal pada 3.6 peratus, iaitu 0.3 mata peratus lebih tinggi berbanding paras prapandemik (Februari 2020:3.3 peratus).

Mengulas lanjut, Mohd. Uzir berkata, kategori pekerja yang merupakan komposisi terbesar daripada jumlah penduduk bekerja dengan peratus sumbangan 75.9 peratus, meningkat sebanyak 0.1 peratus kepada 12.20 juta orang pada Oktober 2022 berbanding 12.18 juta orang pada September.

“Trend yang sama dapat dilihat dalam penduduk bekerja sendiri, dengan pertambahan sebanyak 0.4 peratus merekodkan 2.83 juta orang berbanding 2.82 juta orang pada bulan sebelumnya.

“Mengikut sektor ekonomi, sektor perkhidmatan terus mencatatkan peningkatan dalam bilangan penduduk bekerja, terutamanya dalam aktiviti perkhidmatan makanan dan minuman; perdagangan borong dan runcit serta kewangan dan insurans atau takaful.

“Selain itu, bilangan penduduk bekerja dalam sektor pembuatan, pembinaan dan pertanian juga mencatatkan peningkatan, sebaliknya, guna tenaga dalam sektor perlombongan dan pengkuarian terus menurun,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN