PETALING JAYA: Inflasi keseluruhan menurun kepada empat peratus pada Oktober, berbanding 4.5 peratus pada September berikutan redanya kesan asas dalam inflasi elektrik.
Bank Negara Malaysia (BNM) dalam Sorotan Bulanan Oktober berkata, inflasi teras meningkat sedikit kepada 4.1 peratus berbanding empat peratus pada September yang sebahagian besarnya disumbangkan oleh perkhidmatan dan barangan berkaitan makanan.
Katanya, pada asas bulan ke bulan, peningkatan Indeks Harga Pengguna (IHP) teras menjadi lebih sederhana kepada 0.1 peratus pada Oktober daripada 0.3 peratus pada September.
“Eksport mencatatkan pertumbuhan sebanyak 15 peratus pada Oktober, berbanding 30.1 peratus pada September. Pertumbuhan eksport perkilangan didorong oleh produk elektrik dan elektronik (E&E) dan petroleum. Eksport komoditi terus terdiri terutamanya daripada penghantaran gas asli cecair (LNG) dan petroleum mentah.
“Pada masa hadapan, pertumbuhan global yang sederhana dan harga komoditi yang lebih rendah dijangka menjejaskan pertumbuhan eksport Malaysia. Namun begitu, kepelbagaian eksport Malaysia merentas produk dan pasaran boleh membantu mengurangkan kesan ini,” katanya.
Sementara itu, Bank Pusat berkata, pembiayaan bersih meningkat sebanyak 5.7 peratus pada akhir Oktober berbanding 5.6 peratus pada September, mencerminkan pertumbuhan yang meningkat sedikit dalam pinjaman terkumpul sebanyak 6.5 peratus dan bon korporat (3.6 peratus).
Menurutnya, pertumbuhan pinjaman isi rumah menjadi sederhana kepada 6.3 peratus (September: 6.6 peratus) apabila pertumbuhan bayaran balik pinjaman mengatasi pertumbuhan pengeluaran pinjaman merentas tujuan pinjaman utama.
Jelasnya, pertumbuhan yang lebih perlahan dalam pengeluaran mencerminkan permintaan pinjaman yang sederhana terutamanya untuk pembelian barangan bernilai tinggi seperti rumah dan kereta.
“Bagi sektor perniagaan, pertumbuhan pinjaman terkumpul meningkat kepada 5.5 peratus (September: 5.2 peratus), dengan pertumbuhan pinjaman yang lebih tinggi dicatatkan bagi kebanyakan tujuan.
“Mengikut segmen, pertumbuhan dalam pengeluaran pinjaman terus menggalakkan, terutamanya bagi perusahan kecil dan sederhana (PKS),” ujarnya.
BNM berkata, keadaan kewangan global terus menjadi ketat dan banyak bank pusat telah menaikkan kadar dasar mereka serta memberikan isyarat bahawa kadar akan terus dinaikkan bagi mengurangkan inflasi yang tinggi dan berterusan.
Bank Pusat itu berkata, berlatarkan keadaan ini, prospek pertumbuhan global telah menjadi lemah, dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menurunkan unjuran pertumbuhan global 2023 kepada 2.7 peratus daripada 2.9 peratus.
“Memandangkan faktor-faktor ini terus menyokong kekukuhan dolar Amerika Syarikat (AS), ringgit turun nilai sebanyak 1.9 peratus berbanding dolar AS. Walaupun dengan perkembangan global ini, pelarasan pasaran kewangan domestik kekal teratur dan keadaan kewangan menjadi agak reda,” jelasnya.
Tambah BNM, sistem perbankan terus mencatatkan tahap permodalan yang kukuh untuk menghadapi kemungkinan tekanan dan terus menyokong aliran kredit ke dalam ekonomi dengan lebihan penampan modal sebanyak RM123.1 bilion.
“Nisbah modal meningkat sedikit pada Oktober didorong oleh peningkatan dalam pendapatan tertahan dan terbitan baharu instrumen modal.
“Secara keseluruhan, nisbah pinjaman terjejas kasar dan bersih kekal tidak berubah, masing-masing pada 1.8 peratus dan 1.1 peratus.
“Nisbah perlindungan kerugian pinjaman (termasuk rizab kawal selia) kekal pada tahap berhemat sebanyak 114.2 peratus daripada pinjaman terjejas, dengan jumlah peruntukan mencakupi 1.8% daripada jumlah pinjaman,” katanya.
Setakat akhir Oktober, sistem perbankan mencatatkan jumlah peruntukan dan rizab kawal selia sebanyak RM41.9 bilion. – UTUSAN










