BEIJING: Harga minyak meningkat apabila China mengambil lebih banyak langkah untuk melonggarkan dasar sifar Covid, dan cuaca sejuk ekstrem di seluruh AS mendorong penutupan loji penapisan penting di Teluk Texas.
Minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) meningkat hampir 2 peratus untuk didagangkan pada AS$81 (RM358.30) setong selepas Beijing mengumumkan ia tidak lagi melaksanakan perintah kuarantin ke atas pelancong yang tiba mulai awal Januari, langkah terbaharu dalam merungkai peraturan ketat virus di negara itu.
Minyak mentah Brent pula menokok 0.52 peratus kepada AS$84.36 (RM373.09) setong.
Sementara itu, menurut laporan Reuters, lebih satu pertiga daripada kapasiti penapisan di Teluk Texas telah ditutup sejak beberapa hari lalu, termasuk dua loji terbesar di AS.
Pada penghujung tahun, harga minyak secara purata ditetapkan lebih tinggi selepas mengalami pelbagai tekanan termasuk perang Russia-Ukraine, kebimbangan kemelesetan ekonomi dan gelombang Covid-19 yang ‘mengganas’ di China selepas sekatan pergerakan dilonggarkan.
“Minyak mentah melonjak lebih 7 peratus minggu lalu apabila Russia memberi amaran akan mengurangkan pengeluaran sebanyak 700,000 tong sehari sebagai tindak balas kepada sekatan dikenakan oleh Barat,” jelas laporan itu.
Di AS, cuaca sejuk ekstrem memaksa dua kilang penapisan terbesar negara itu, Motiva Port Arthur dan Marathon Galveston Bay menghentikan pengeluaran petrol dan diesel kira-kira 1.8 juta tong sehari.
Sementara itu, harga emas meningkat pada awal dagangan di Asia, dibantu oleh dolar yang lemah, walaupun dagangan berkurangan selepas cuti panjang hujung minggu sempena Krismas.
Emas spot naik 0.3 peratus kepada AS$1,802.63 seaun. Niaga hadapan emas AS turut meningkat 0.3 peratus kepada AS$1,810 seaun.
Indeks dolar susut 0.1 peratus, menjadikan jongkong berharga itu lebih murah untuk pembeli luar negara.
Data pada Jumaat menunjukkan, perbelanjaan pengguna AS meningkat 0.1 peratus pada November selepas meningkat 0.4 peratus bulan sebelumnya, manakala inflasi terus menurun. – AGENSI










