Bursa Malaysia ditutup lebih tinggi

Bursa Malaysia ditutup lebih tinggi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bursa Malaysia ditutup tinggi untuk hari kedua berturut-turut semalam, didorong minat belian berterusan dilihat di kaunter perladangan wajaran tinggi.

Ringgit juga semakin mengukuh apabila ditutup pada 4.4100/4200 semalam, berbanding 4.4400/4480 kelmarin.

Pada pukul 5 petang, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat sebanyak 2.71 mata kepada 1,491.51 daripada penutupan kelmarin pada 1,488.80.

Bursa turut dibuka dua mata lebih baik pada 1,490.80 dan bergerak antara 1,487.34 dan 1,497.24 sepanjang hari.

Mengulas mengenai prestasi tersebut, Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, Bursa dan ringgit mengukuh disebabkan sentimen yang semakin positif di Amerika Syarikat dan China apabila kenyataan terkini Rizab Persekutuan mencerminkan sikap berhati-hati untuk tidak menaikkan lagi kadar faedah dengan drastik.

“Selain itu ura-ura pembukaan kembali sektor ekonomi China membawa kepada sentimen positif ke atas permintaan barangan dan perkhidmatan dari Malaysia,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut beliau, kelewatan pelantikan kabinet takde kesan sebab belum lewat lagi dan kemungkinan besar akan selesai menjelang 19 Disember.

Indeks FBMEmas juga meningkat 60.77 mata kepada 10,694.47 dan Indeks FBMT100 menokok 52.98 mata kepada 10,405.240, Indeks FBM Emas Shariah meningkat 120.17 mata kepada 10,903.26, FBM 70 naik 202.18 mata kepada 13,053.27, dan FBM ACE menambah 79.82 mata kepada 5,290.97.

Suasana pasaran juga positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 711 berbanding 344, manakala 379 kaunter tidak berubah, 799 tidak diniagakan dan 14 lagi digantung.

Jumlah dagangan berkurangan kepada 3.94 bilion unit bernilai RM3.07 bilion berbanding 4.71 bilion unit bernilai RM4.41 bilion kelmarin.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank turun satu sen kepada RM8.62, Public Bank jatuh tiga sen kepada RM4.47 dan CIMB susut lima sen kepada RM5.75, manakala Petronas Chemicals melonjak 13 sen kepada RM8.67 dan Tenaga naik lapan sen kepada RM9.50. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN