PETALING JAYA: Bank Simpanan Nasional (BSN) menzahirkan rasa prihatin dan simpati terhadap mangsa bencana banjir di beberapa negeri baru-baru ini dengan menawarkan bantuan kepada mereka yang terjejas pendapatan.
BSN dalam kenyataan berkata, pelanggan yang terjejas pendapatan akibat banjir boleh menghubungi pihaknya untuk membincangkan mengenai bantuan pembayaran balik pembiayaan bersesuaian dengan menghantarkan emel ke [email protected].
Katanya, pemilik perniagaan mikro yang terkesan dan memerlukan pembiayaan untuk membangunkan semula perniagaan mereka pula boleh memohon Skim Pembiayaan BSN Micro/i SemarakNiaga.
“Skim pembiayaan ini menawarkan jumlah pembiayaan sehingga RM50,000 untuk tempoh pembiayaan sehingga 5.5 tahun termasuk moratorium bagi enam bulan pertama ke atas pembayaran ansuran bulanan.
“Melalui skim ini, perusahaan mikro dalam semua jenis sektor perniagaan yang telah beroperasi sekurang-kurangnya enam bulan boleh memohon pembiayaan sama ada bagi tujuan modal kerja atau pembelian aset untuk kegunaan perniagaan,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, usahawan mikro juga boleh memohon bantuan sehingga RM75,000 melalui Dana Bantuan Bencana (DRF).
Tambahnya, cah bagi penggantian kad kredit dan kad debit BSN yang rosak atau hilang ekoran bencana banjir juga akan dikecualikan.
Sementara itu, BSN melalui jenama tanggungjawab sosial korporatnya, BSN Care, turut menghulurkan sumbangan berupa kotak keperluan asas dengan jumlah keseluruhan bernilai RM90,000 kepada mangsa banjir di Terengganu dan Kelantan.
“Kotak keperluan asas ini mengandungi barangan makanan, minuman serta keperluan harian lain bernilai RM100 setiap satu. Ia telah diserahkan kepada mangsa banjir melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di negeri masing-masing.
“Diharapkan melalui pelbagai bentuk bantuan yang disediakan oleh pihak BSN ini dapat sedikit sebanyak meringankan bebanan yang ditanggung oleh mangsa banjir terutamanya bagi meneruskan kehidupan pasca banjir,” ujarnya. – UTUSAN










