PETALING JAYA: Penurunan Indeks Harga Pengguna (IHPR) pada Oktober menunjukkan kadar inflasi negara semakin menurun dan terkawal, sekali gus memberi gambaran Bank Negara Malaysia (BNM) tidak perlu menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) terlalu awal, menurut pakar ekonomi.
Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, keadaan itu akan melegakan ramai peminjam rumah khususnya dalam kalangan M40 yang meminjam pada kadar apungan.
Selain itu jelasnya, ia juga selari dengan penurunan kadar inflasi di Amerika Syarikat (AS) yang menyebabkan Rizab Persekutuan (Fed) tidak lagi menaikkan kadar faedah secara agresif.
“Dengan penurunan IHPR, segmen perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) juga boleh menarik nafas lega dengan peningkatan kadar faedah yang memberi tekanan kepada margin keuntungan mereka berikutan peningkatan perbelanjaan perniagaan dan kenaikan harga barang mentah, kos pengangkutan dan logistik.
“Pada pendapat saya, kadar IHPR tersebut boleh diturunkan lagi sekiranya kerajaan terus membantu dengan pemberian subsidi kepada barangan pada harga terkawal.
“Sekurang-kurangnya, ia mengurangkan bebanan kos sara hidup rakyat Malaysia dan diharapkan ia berterusan seperti dahulu pada 1.5 peratus yang mungkin dapat dicapai pada 2023,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Jabatan Perangkaan (DOSM) sebelum ini memaklumkan, Indeks Harga Pengeluar (IHPR) Malaysia menyederhana kepada 4.0 peratus pada Oktober 2022 berbanding 4.9 peratus bulan sebelumnya, disumbangkan oleh peningkatan indeks pembuatan sebanyak 7.3 peratus berbanding 8.1 peratus pada September, berikutan kenaikan satu angka sejak empat bulan lepas.
Dan kelmarin, BNM dalam Sorotan Bulan Oktober melaporkan, inflasi keseluruhan menurun kepada empat peratus pada bulan berkenaan, berbanding 4.5 peratus pada September, berikutan redanya kesan asas dalam inflasi elektrik.
BNM berkata, inflasi teras meningkat sedikit kepada 4.1 peatus berbanding 4 peratus pada September yang sebahagian besarnya disumbangkan oleh perkhidmatan dan barangan berkaitan makanan.
Sementara itu, MIDF Research berkata, inflasi harga pengeluar Malaysia terus menurun kepada 4.0 peratus tahun ke tahun pada Oktober lalu, iaitu paling perlahan sejak Februari 2021.
Jelasnya, tekanan harga yang lebih perlahan ke atas pengeluar disebabkan terutamanya oleh penurunan IHPR bagi sektor pertanian sebanyak 18.2 peratus tahun ke tahun dan perlombongan (0.5 peratus) akibat pembetulan harga komoditi, berlegar pada paras lebih rendah daripada Oktober tahun lalu.
“Selain itu, harga bahan mentah terus jatuh pada bulan tersebut. Tekanan harga yang berkurangan juga disebabkan oleh kenaikan IHPR pembuatan yang lebih perlahan, sejajar dengan inflasi yang lebih perlahan dalam barangan pengantara.
“Bagaimanapun, IHPR bagi sektor utiliti terus meningkat kepada 4.9 peratus tahun ke tahun. Secara keseluruhan, kami berpendapat tekanan kos ke atas perniagaan tempatan telah berkurangan dengan aliran menurun berterusan dalam harga yang dibayar oleh pengeluar Malaysia,” katanya dalam nota kajian.
Firma penyelidikan itu berkata, tekanan yang berkurangan menjejaki perubahan dalam harga komoditi global dan bekalan bahan perantaraan, justeru kenaikan harga input yang lebih perlahan.
“Kami percaya kini terdapat pengurangan tekanan ke atas firma Malaysia untuk terus menyalurkan kenaikan kos kepada pengguna dan ini akan mengakibatkan lebih banyak kelonggaran dalam harga pengguna.
“Namun, kami melihat peningkatan berterusan dalam IHPR bagi barangan siap sebagai petunjuk kemungkinan risiko terhadap prospek inflasi kekal tinggi, selain daripada tekanan permintaan yang semakin meningkat pada harga umum,” ujarnya. – UTUSAN










