PETALING JAYA: Bank Rakyat menerusi produk Pembiayaan Peribadi-i menawarkan kadar keuntungan serendah 2.15 peratus setahun sempena hujung tahun, jauh lebih rendah berbanding yang ditawarkan di pasaran semasa.
Menurut kenyataan Bank Rakyat, kadar istimewa itu ditawarkan kepada pelanggan yang membuka akaun baharu Pembiayaan Peribadi-i bermula 1 hingga 30 Disember 2022 tanpa sebarang jumlah minimum pembiayaan.
Katanya, pelanggan baharu dan sedia ada Pembiayaan Peribadi-i turut berpeluang memenangi hadiah lumayan berjumlah keseluruhan lebih RM370,000 dengan melanggan atau membuat pembiayaan semula dengan jumlah minimum RM50,000 pada tempoh yang sama.
“Antara 14 hadiah eksklusif yang bakal dimenangi oleh pemenang bertuah termasuk dua buah kereta Honda HRV, dua buah motosikal Yamaha LC dan 10 unit telefon pintar iPhone 14.
“Kadar promosi istimewa menjelang musim cuti hujung tahun ini bukan sahaja dapat memenuhi keperluan kewangan pelanggan, malah memberi penjimatan serta lebihan tunai kepada mereka untuk menguruskan perbelanjaan peribadi sebagai persiapan tahun baharu kelak,” katanya dalam kenyataan itu.
Bank Rakyat berkata, kadar promosi itu juga menampilkan kelainan daripada tawaran kempennya sebelum ini kerana menawarkan kadar terendah berbanding kadar keuntungan yang pernah ditawarkan sebelum ini.
Tambahnya, tawaran tersebut menyasarkan warganegara Malaysia daripada sektor awam dan swasta.
“Tawaran ini disediakan sebagai satu daripada inisiatif dalam menggalakkan masyarakat untuk mendapatkan kemudahan kewangan daripada institusi perbankan yang sah dengan menawarkan kadar keuntungan yang kompetitif,” ujarnya.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh mengunjungi cawangan Bank Rakyat yang berhampiran atau layari laman sesawang rasmi Bank di www.bankrakyat.com.my atau menghubungi pusat panggilan di talian 130080 5454. – UTUSAN










