PETALING JAYA: Bajet mini perlu diluluskan secepat mungkin bagi mengelakkan pentadbiran kerajaan berdepan dengan pelbagai masalah negara, menurut penganalisis ekonomi.
Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, peruntukan yang dipohon sebanyak RM55.96 nilion itu adalah untuk belanja pentadbiran kerajaan dan semestinya ia harus dilaksanakan dan diluluskan oleh Parlimen secepat mungkin.
“Sekiranya tidak, ia bakal menyusahkan pentadbiran kerajaan kerana ia melibatkan emolumen dan pelbagai perbelanjaan kecemasan negara.
“Lebih-lebih lagi, sekarang ini negara sedang diancam pelbagai bencana alam seperti banjir dan tanah runtuh di seluruh negara,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka memperuntukkan RM55.96 bilion untuk “belanjawan mini” sementara Putrajaya pada ketika pentadbirannya menyusun bajet baharu bagi 2023.
Anwar yang juga Menteri Kewangan sebelum ini berkata, belanjawan mini itu akan digunakan terutamanya untuk membayar emolumen penjawat awam bagi memastikan kerajaan terus beroperasi.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berpendapat, bajet mini itu adalah wajar memandangkan keperluan semasa adalah untuk memastikan bayaran emolumen tahun hadapan tidak terganggu dan kemungkinan juga komitmen hutang Persekutuan dapat dipenuhi.
“Kerajaan Perpaduan ini sudah tentunya memerlukan masa untuk membentangkan bajet keseluruhan 2023 kerana ia baru saja dibentuk.
“Oleh itu, masih ada lagi ruang untuk kerajaan baharu ini membentangkan bajet keseluruhan 2023 pada awal tahun hadapan dan bajet mini ini adalah untuk memastikan tiada isu bayaran tertangguh kerana tiada peruntukan,” katanya.
Belanjawan 2023 telah dibentangkan oleh kerajaan pada Oktober lalu, dengan peruntukan RM90.76 bilion untuk emolumen.
Bagaimanapun, Parlimen telah dibubarkan sebelum Belanjawan 2023 dapat diluluskan.
Bajet baharu hanya dijangka tahun depan, justeru keperluan pembiayaan sementara itu untuk memastikan kelancaran pentadbiran di Putrajaya. – UTUSAN











