AirAsia lancar syarikat penerbangan tambang rendah baharu di Kemboja - Utusan Malaysia

AirAsia lancar syarikat penerbangan tambang rendah baharu di Kemboja

Tony Fernandes (kanan) mewakili Capital A dan Pengarah Sivilai Asia, Vissoth Nam (kiri) ketika menandatangani usaha sama penubuhan AirAsia Cambodia dengan disaksikan Menteri Sekretariat Penerbangan Awam Negeri, Dr. Mao Havannal (tengah), di Phnom Penh, Kemboja, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PHNOM PENH: AirAsia Aviation Group Limited (AAAGL), cabang syarikat penerbangan di bawah Capital A Berhad, hari ini menandatangani Perjanjian Usaha sama (JV) dengan Sivilai Asia untuk menubuhkan AirAsia Cambodia, syarikat penerbangan tambang rendah baharu di Kemboja.

Syarikat penerbangan baharu itu akan memperkukuh lagi jenama AirAsia di Kemboja dan Indochina, menyediakan akses yang lebih besar kepada pasaran domestiknya dan yang paling penting menghubungkannya ke pasaran antarabangsa di seluruh Asean, Asia Utara dan seterusnya.

Ia turut membolehkan AAAGL beroperasi ke pelbagai pasaran sedia ada untuk membina skala, ketersambungan rangkaian dan mengurangkan kos operasi.

AirAsia Cambodia berhasrat untuk merangsang lagi industri penerbangan di Kemboja, melancarkan destinasi baharu yang menarik dan mewujudkan peluang pekerjaan dan membawa operasi syarikat penerbangan tambang rendah di negara itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tan Sri Tony Fernandes berkata, pihaknya sentiasa memberi tumpuan kepada Asean dan Kemboja ialah negara Asean kelima dipilih untuk menyediakan perkhidmatan penerbangan penumpang dan kargo nombor satu rantau ini, serta memacu pertumbuhan ekonomi bagi negara-negara Asean.

Ujarnya, nilai rangkaian AirAsia adalah aset yang tidak dapat diatasi dan akan membuka peluang yang lebih besar untuk menghubungkan Kemboja ke rantau ini, selain China, India dan Asia Utara.

“Tahun ini adalah mengenai kebangkitan semula syarikat penerbangan kami ke tahap pra-pandemik yang akan beroperasi sepenuhnya menjelang suku kedua 2023. Separuh kedua tahun 2023 pula akan menyaksikan kami memberi tumpuan kepada pertumbuhan syarikat.

“Kami juga yakin dengan keuntungan pada tahun pertama memandangkan Kemboja adalah pasaran tidak asing dan di mana kami mempunyai infrastruktur yang lengkap. Itulah sebabnya semua syarikat penerbangan kami pada masa hadapan akan berpangkalan di Asean. Ini kerana ia adalah titik utama kami dan boleh menjana keuntungan dengan cepat, selain menghubungkan rangkaian luas kami ke destinasi utama di Kemboja, iaitu Phnom Penh, Siem Reap dan Sihanoukville,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam majlis menandatangani perjanjian dan pengumuman rasmi AirAsia Cambodia di Hotel Rosewood, di sini hari ini.

Perjanjian usaha sama itu ditandatangani oleh Tony dan Pengarah Sivilai Asia, Vissoth Nam, selain turut disaksikan dan dipengerusikan oleh Menteri Sekretariat Penerbangan Awam Negeri, Tuan Yang Terutama Dr. Mao Havannal; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AAAGL; Bo Lingam dan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Consulting, Subashini Silvadas.

Sementara itu, Vissoth berkata, sebagai antara negara pertama yang membuka sekatan perjalanan antarabangsa tanpa kuarantin pada November 2021, Kemboja telah menjadi pemangkin pemulihan perjalanan udara di Asean selepas pandemik, diikuti oleh negara-negara lain.

“Hari ini, kami berbangga untuk melancarkan syarikat penerbangan tambang rendah baharu yang bakal beroperasi di Kemboja.

“Peningkatan ketersambungan rangkaian di samping tambang bernilai terbaik, pastinya akan merangsang permintaan perjalanan udara di kalangan rakyat tempatan selain membuka peluang kepada para pelajar ke luar negara, menyokong perjalanan berkaitan pekerjaan, meningkatkan hubungan perdagangan, memacu pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana baharu.

“Ini tidak mungkin dicapai tanpa sokongan daripada kerajaan tempatan dan rakan industri pelancongan kami di Kemboja, pihak berkuasa yang berkaitan dan AAAGL,” ujarnya.

AAAGL mengendalikan lima laluan ke Kemboja dari Kuala Lumpur ke Siem Reap dan Phnom Penh, dari Pulau Pinang ke Phnom Penh (bermula 3 Januari 2023) serta dari Bangkok (Don Mueang) ke Siem Reap dan Phnom Penh. Sejak memasuki pasaran Kemboja pada tahun 2005, AirAsia telah membawa lebih 10 juta tetamu ke dan dari negara itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.