Untung bersih S3 I-Berhad meningkat lima kali ganda  

Untung bersih S3 I-Berhad meningkat lima kali ganda  

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keuntungan bersih I-Berhad melonjak hampir lima ganda kepada RM15.58 juta pada suku ketiga (S3) berakhir 30 September 2022 daripada RM3.19 juta yang direkodkan bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

Pendapatan bagi tempoh itu turut meningkat kepada RM38.89 juta daripada RM21.57 juta, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia.

Peningkatan itu katanya, disumbang terutama menerusi jualan yang diiktiraf dalam pembangunan terbaharu, BeCentral dan unit yang telah siap, projek i-Suite dan Hyde di i-City.

Bagi tempoh kumulatif sembilan bulan, keuntungan bersih syarikat pembangunan hartanah itu meningkat kepada RM18.53 juta daripada kerugian bersih RM4.8 juta, manakala pendapatan meningkat kepada RM77.37 juta daripada RM51.63 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

Menurut I-Berhad, pada suku ketiga, Kumpulan secara rasmi telah membuka Hotel DoubleTree by Hilton untuk perniagaan dan menerima sambutan menggalakkan dengan kadar penghuni yang tinggi untuk penginapan dan acara.

“Kumpulan menjangkakan ia akan menjadi penyumbang pendapatan utama kepada segmen riadah menjelang tahun hadapan.

“Kerjasama strategik itu telah meningkatkan nilai i-City dan mewujudkan peluang keemasan bagi pemaju teknologi untuk melancarkan kediaman BeCentral sebelum akhir tahun.

“Pembangunan itu terdiri daripada dua menara kediaman dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM600 juta dalam i-City Finance Avenue dan bersedia untuk menyumbang ke arah keuntungan Kumpulan dalam tempoh dua atau tiga tahun akan datang,” katanya.

Setakat 30 September 2022, jualan belum dibil Kumpulan berjumlah RM73.6 juta berbanding RM61.7 juta setakat 30 Jun 2022.

Menurut Kumpulan, pada akhir tahun ini, Kumpulan dijangka akan menarik 100,000 pengunjung ke i-City pada musim perayaan akan datang, sejajar dengan usaha Kumpulan untuk meningkatkan pelancongan di Selangor, dan memberi sumbangan positif kepada segmen riadah dalam suku akan datang.

“Di sebalik prospek ekonomi keseluruhan yang lebih lemah, I-Berhad telah menyaksikan banyak perkembangan positif berikutan pembukaan Mercu Maybank dan Double-Tree oleh Hilton di i-City Finance Avenue tahun ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN