Untung bersih Pharmaniaga S3 jatuh 82.7% kepada RM8.62 juta

Untung bersih Pharmaniaga S3 jatuh 82.7% kepada RM8.62 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Untung bersih Pharmaniaga Berhad suku ketiga berakhir 30 September 2022 (S3TK2022) jatuh 82.7 peratus kepada RM8.62 juta daripada RM49.84 juta tempoh sama tahun sebelumnya, dengan jualan yang lebih rendah apabila negara memasuki fasa endemik.

Ia menjadikan pendapatan sesaham Kumpulan lebih rendah iaitu sebanyak 0.66 sen berbanding 3.81 sen untuk S3TK2021.

Pharmaniaga berkata, hasil bagi suku semasa dalam tinjauan turun 56.6 peratus kepada RM924.68 juta daripada RM2.13 bilion pada S3TK2021, berikutan jualan yang lebih rendah daripada segmen konsesinya susulan arahan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Katanya, ia sebahagiannya diimbangi oleh hasil yang lebih tinggi daripada segmen lain termasuk perniagaan bukan konsesi dan Indonesia.

Jelasnya, walaupun prestasi suku tahunannya lebih lemah, Pharmaniaga mengisytiharkan dividen interim ketiga sebanyak 0.6 sen bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (TK2022) yang perlu dibayar pada 22 Februari 2023.

“Pendapatan suku tahunan yang lebih rendah mengheret untung bersih Kumpulan sebanyak 57.2 peratus kepada RM37.07 juta untuk sembilan bulan terkumpul berakhir 30 September 2022 daripada RM86.68 juta setahun sebelumnya, manakala hasil turun 35.5 peratus kepada RM2.65 bilion pada sembilan bulan pertama tahun kewangan 2022 daripada RM4.1 bilion pada tempoh yang sama tahun lalu,” katanya dalam makluman di Bursa Malaysia.

Dalam makluman itu, Pharmaniaga berkata, ia kekal optimistik dan berhati-hati terhadap prestasi pada 2022 memandangkan iklim ekonomi dan geopolitik yang tidak menentu di seluruh dunia.

“Bagaimanapun, kami mempunyai pelan strategik yang direka dengan baik untuk mengurangkan sebarang risiko atau situasi dalam memastikan kesan minimum sepanjang operasi perniagaan kami.

“Di peringkat tempatan, Kumpulan memberi tumpuan untuk memanfaatkan portfolio perniagaan dalam pasaran swasta yang telah mencatatkan pertumbuhan hasil sebanyak 57 peratus suku ke suku dan 55 peratus tahun ke tahun.

“Kami menjangkakan untuk merekodkan lebih RM120 juta hasil, dengan anggaran pertumbuhan 60 peratus, daripada sektor swasta menjelang akhir tahun,” katanya.

Di samping itu, Kumpulan meramalkan perniagaan konsesi akan terus mencatat pertumbuhan dianggarkan 8.0 peratus  untuk tahun ini memandangkan produk tambahan telah ditambah oleh KKM ke dalam senarai pembelian produk yang diluluskan.

Pharmaniaga juga berkata, perniagaannya di Indonesia terus menjadi pemacu pertumbuhan utama kerana ia menunjukkan prestasi yang memberangsangkan, terutama didorong oleh peningkatan kecekapan operasi dan pendigitalan dengan usaha pengoptimuman saham yang berterusan, usaha pengumpulan yang agresif serta peningkatan portfolio produk.

Pada akhir September, operasi perniagaan Indonesia telah mencapai pertumbuhan hasil sebanyak 8.0 peratus dan kumpulan itu menyasarkan untuk menutup TK2022 dengan pertumbuhan 15 peratus. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN