PETALING JAYA: Universal Robots yang mencapai kejayaan 1,000 pekerja, menyasarkan untuk membantu mengautomasikan industri Malaysia seterusnya melonjak kepada rantaian nilai lebih tinggi.
Sejak pelancaran robot kolaboratifnya yang pertama pada 2008, Universal Robots telah berkembang menjadi sebuah peneraju pasaran global dalam kobot dengan penubuhan pejabat di lebih 20 negara.
Presiden Universal Robots, Kim Povisen berkata, ia adalah pencapaian bersejarah buat syarikat yang berkembang daripada syarikat permulaan tempatan di ruang bawah tanah universiti (di Denmark) sehingga menjadi perintis dan peneraju pasaran robot global.
“Ia menunjukkan bahawa kami mempunyai sebuah produk yang hebat dan banyak syarikat di seluruh dunia dapat menyaksikan kelebihan dalam penggunaan robot kami dalam pembangunan perniagaan mereka,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, di seluruh dunia akan terdapat peningkatan keperluan untuk automasi pada tahun-tahun akan datang, dan ia akan didorong oleh beberapa perkara termasuk keinginan untuk melindungi pekerja daripada tugasan yang merbahaya dan berulang.
Perkara lain termasuk penetapan semula di mana syarikat memindahkan pengeluaran lebih dekat dengan pangkalan memandangkan keadaan dunia yang tidak menentu dan kekurangan tenaga kerja yang akan bertambah teruk pada tahun-tahun akan datang.
“Dalam laporan Future of Jobs 2020 yang diterbitkan oleh Forum Ekonomi Dunia, 73 peratus syarikat Malaysia akan mengguna pakai robot seperti automasi industri bukan humanoid dan dron dalam tempoh lima tahun akan datang,” jelasnya.
Sementara itu, Ketua Asia Tenggara dan Oceania Universal Robots, Ix Lee berkata, menurut laporan McKinsey, 50 peratus masa bekerja di Malaysia ditumpukan kepada aktiviti berulang yang boleh diautomasikan.
Kata beliau, Universal Robots boleh membantu mengautomasikan industri Malaysia untuk melonjak kepada rantaian nilai yang lebih tinggi.
“Kobots boleh bekerja 24 jam sehari dan mengurangkan tempoh masa tugasan berulang, sekali gus membantu meningkatkan produktiviti secara keseluruhan. Selain itu, penggunaan automasi akan menjana industri baharu dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan,” katanya.
Jelasnya, permintaan untuk automasi pengguna akhir dalam industri seperti automotif, makanan dan minuman, dan elektronik pengguna memacu pertumbuhan pasaran robotik di Malaysia.
“Verified Market Research telah menganggarkan saiz pasaran robotik Malaysia bakal mencecah AS$273.61 juta menjelang 2027, berkembang pada Purata Kadar Pertumbuhan Tahunan (CAGR) sebanyak 17.50 peatus dari 2020 hingga 2027,” katanya. – UTUSAN










