UMS jalin kerjasama dengan syarikat Korea Selatan

UMS jalin kerjasama dengan syarikat Korea Selatan

LAWATAN ke KD Seal Tech Co. Ltd, Korea Selatan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Fakulti Kejuruteraan (FKJ) telah mengadakan jalinan kolaborasi bersama beberapa syarikat industri di Korea Selatan dalam usaha membuka peluang kepada pelajarnya menjalani latihan industri di negara itu.

Kolaborasi itu dimeterai ketika program lawatan FKJ diketuai Dekannya, Prof. Madya Ts. Dr. Ismail Saad ke ebebrapa syarikat industri dan universiti di Korea Selatan baru-baru ini.

Menurut UMS, dalam lawatan itu, Ismail telah menandatangani Surat Niat (LoI)bersama Donghai-Holesaw Co. Ltd., KD Seal Co. Ltd., dan Sesung Co. Ltd.

“Kita juga turut memeterai kerjasama dengan dua universiti iaitu Universiti Kebangsaan Seoul dan Universiti Chosun.

“Kolaborasi ini antara lain adalah bagi membantu dalam penempatan latihan industri dan kerjasama penyelidikan antara kedua-dua pihak pada masa depan,” katanya dalam kenyataan.

Ismail turut memaklumkan seramai 13 pelajar UMS telah melapor diri untuk bertugas di beberapa organisasi di Korea Selatan pada 25 Julai lalu.

Menurut beliau, inisiatif untuk mendapatkan penempatan bagi pelajar UMS di Korea Selatan dipelopori oleh Profesor Emeritus Kim Seock-Sam dari Kyungpook National University, Korea Selatan sejak 2014 ketika beliau menyandang jawatan sebagai Profesor di FKJ UMS, dan kini merupakan Panel Penasihat Industri Antarabangsa yang dilantik oleh fakulti tersebut.

Pelajar terlibat menjalani latihan industri selama 10 minggu di Donghai Holesaw, Sesung, Goonworld dan KD Seal Tech Co.

Sementara itu, Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, kerjasama itu merupakan antara usaha UMS dalam meningkatkan lagi kebolehpasaran graduan selain merealisasikan agenda pengantarabangsaan universiti melalui hubungan baik yang terjalin bersama pihak industri luar negara.

Kata beliau, sudah pasti pengalaman menjalani latihan industri di negara maju akan memberi kelebihan
kepada pelajar UMS sekali gus menyumbang kepada tenaga sumber manusia yang kompeten dan berdaya saing di Malaysia khususnya di Sabah.

“Pada masa yang sama, kerjasama ini juga meningkatkan lagi keterlihatan UMS di mata global seiring dengan Bidang Tujahan Utama (KRA) ke-3 universiti iaitu Global Prominence,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×