PETALING JAYA: TH Plantations Berhad (THP) merekodkan Keuntungan Selepas Cukai dan Kepentingan Minoriti (PATAMI) sebanyak RM14.4 juta bagi tempoh kewangan suku ketiga 2022, berbanding RM26.8 juta pada suku sama tahun lalu.
THP dalam kenyataan berkata, Keuntungan Sebelum Cukai (PBT) Kumpulan bagi tempoh berakhir 30 September 2022, tidak termasuk nilai saksama aset biologi pula menunjukkan peningkatan daripada RM84.1 juta kepada RM98.3 juta berbanding tempoh yang sama 2021.
Jelasnya, hasil bagi suku dikaji meningkat 3.66 peratus kepada RM213.4 juta berbanding RM205.9 juta dalam tempoh sama tahun lalu.
“Pendapatan yang lebih baik pada suku ketiga ini disumbangkan oleh purata harga realisasi yang lebih tinggi bagi minyak sawit mentah (MSM) sebanyak RM3,997 dan isirong sawit (PK) sebanyak RM2,356 walaupun pengeluaran lebih rendah berbanding tempoh yang sama tahun lepas,” katanya.
Menurut THP, harga produk minyak sawit dijangka kekal tidak menentu sepanjang suku keempat tahun ini kerana dijangkakan stok minyak sawit akhir tahun yang lebih tinggi, ketidaktentuan cuaca dan minyak sawit menghampiri musim pengeluaran rendah.
Kumpulan telah mengambil semua langkah yang perlu untuk menangani kekurangan buruh asing dan dijangka akan bertambah baik pada suku keempat.
“THP juga telah meningkatkan usaha mekanisasi dan inisiatif transformasi di semua ladangnya untuk meningkatkan kecekapan operasi.
“THP terus mengambil semua langkah yang perlu untuk menambah baik asas-asas kumpulan untuk mengukuhkan kecekapan keseluruhan dan pengurusan kos, sekali gus menjangkakan prestasi kewangan yang memuaskan untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022,” ujarnya. – UTUSAN










