PETALING JAYA: Jenama teh gaya hidup terkemuka Asia Tenggara, Tealive menembusi pasaran Amerika Utara dengan pembukaan kedai pertamanya di Somerset Street, Ottawa, Kanada, minggu lalu.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Loob Holding Sdn. Bhd. Bryan Loo berkata, Tealive tidak menyasarkan untuk mengembangkan perniagaannya ke Amerika Utara sehinggalah didatangi oleh sekumpulan ahli perniagaan tempatan berjaya dan terlibat dalam perniagaan pastri dan roti.
Katanya, fokus Tealive sebelum ini adalah untuk mengembangkan perniagaan di Asia Tenggara.
“Kami yakin rakan kongsi pilihan kami di Kanada akan menjadi padanan yang sesuai kerana mereka mempunyai lebih 20 tahun pengalaman dalam segmen makanan dan minuman.
“Kemasukan ke Kanada dan rancangan pengembangan di negara itu memberi peluang untuk kami mengetahui lebih lanjut mengenai pasaran Amerika Utara secara dekat.
“Oleh itu, pada masa akan datang, kami mungkin turut menerokai pasaran Amerika Syarikat (AS) yang menguntungkan,” katanya dalam kenyataan.
Bryan berkata, rakan kongsinya itu komited untuk membuka 50 cawangan dalam tempoh lima tahun akan datang di seluruh Kanada.
“Rakan kongsi kami telah mengembara ke Asia Tenggara dan mereka telah terdedah kepada Tealive. Mereka menyukai capaian jenama, format kami yang boleh berskala dengan banyak saiz kedai dan keberadaan di stesen minyak.
“Mereka kagum dengan tumpuan kami pada pasaran pandu lalu kerana ia adalah sesuatu yang utama dalam pasaran Amerika Utara. Mereka mengiktiraf model perniagaan kami yang akan menjadi format ideal untuk pasaran Barat seperti AS.
“Selain itu, mereka yakin Tealive adalah tawaran unik dalam pasaran boba sejajar dengan janji jenama kami iaitu ‘Bukan Sekadar Teh’. Selain pelbagai jenis minuman, kami juga memasuki portfolio makanan melalui Tealive Eats,” ujarnya.
Tambah Bryan, beliau yakin dengan potensi pasaran global bubble tea dan mahu meletakkan Loob dalam keadaan bersedia bagi mengharungi gelombang seterusnya.
“Menurut firma penyelidikan pasaran terkemuka Facts and Factors, saiz Pasaran Global Bubble Tea bernilai sekitar AS$2.1 bilion (RM9.4 bilion) pada 2020 dan dianggarkan meningkat kepada kira-kira AS$4.5 bilion (RM20.2 bilion) menjelang 2026, pada kadar pertumbuhan tahunan terkompaun sebanyak 8.1 peratus antara 2021 dan 2026,” katanya. – UTUSAN










