ZURICH: Swiss National Bank (SNB) merekodkan kerugian sebanyak 142.2 bilion Swiss francs (AS$142.6 bilion/RM672.66 bilion) dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, didorong oleh kenaikan kadar faedah dan nilai franc yang lebih kukuh mengurangkan nilai pelaburan asing di bank berkenaan.
Kerugian itu adalah yang terbesar dalam sejarah 115 tahun SNB, dan lebih tinggi sedikit berbanding keluaran ekonomi tahunan Maghribi berjumlah berjumlah AS$132 bilion, lapor Reuters.
Bagaimanapun, bank pusat itu tidak menghadapi muflis berikutan keupayannya ‘mencipta’ wang, menurut laporan itu.
SNB mengalami kerugian sebanyak 141 bilion franc daripada kedudukan mata wang asingnya, berikutan bon dan saham yang dibeli semasa kempen membendung kenaikan nilai franc, telah merosot.
Angka itu termasuk kerugian berkaitan kadar pertukaran sebanyak 24.4 bilion apabila franc yang lebih kukuh mengurangkan lagi nilai pegangannya, termasuk pegangan dalam Starbucks dan Google Alphabet.
Pegangan emas susut nilai sebanyak 1.1 bilion franc, menurut laporan itu.
“Kerugian ini mungkin kedengaran seperti banyak, tetapi SNB bukan syarikat biasa,” kata ahli ekonomi UBS, Alessandro Bee.
Menurut beliau, masalah yang berlaku disebabkan persekitaran `stagflasi’ di mana kerugian ekuiti, bon, emas, dan franc Swiss menjadi lebih kukuh.
“Biasanya, bon dan emas untung apabila ekuiti rugi. Tetapi itu tidak berlaku pada 2022,” jelasnya.
Jelasnya, peraturan kebankrapan biasa ‘tidak terpakai’ dalam situasi SNB yang sebelum ini memperoleh keuntungan sebanyak 41.4 bilion franc tahun lalu, dan akan sentiasa ada kecairan selagi terdapat permintaan untuk franc Swiss.
Kerugian itu bermakna, bank pusat berkenaan menghentikan pembayaran kepada kerajaan Switzerland pada tahun hadapan.
Kerugian besar yang berterusan juga boleh menghapuskan ekuiti SNB, berjumlah 204 bilion franc pada akhir 2021. – AGENSI










